BENGKEL KHAS MAJIKAN SERU ANGGOTA PDRM SERTAI SKIM BERKAT



Tarikh : 2/3/2009
Penulis : Editor

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS dengan kerjasama Badan Agama dan Kaunseling Anggota (BAKA) mengadakan Bengkel Khas Majikan kepada kakitangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor di sini pada 18 Februari sempena Tahun Zakat Selangor 1430H.

Bengkel ini bertujuan meningkatkan lagi usaha bagi menambah jumlah kakitangan PDRM di Selangor menyertai skim bayaran zakat melalui potongan gaji (Skim Berkat).

Sehingga kini seramai 3, 467 kakitangan PDRM Selangor telah menyertai Skim Berkat berbanding 6,416 bilangan kakitangan yang layak mengikut taksiran tetapi masih belum berbuat demikian.

Melalui bengkel ini LZS mensasarkan 100 peratus kakitangan PDRM, Selangor yang layak menunaikan zakat akan menyertai Skim Berkat ini. Jumlah zakat yang akan dikutip jika penyertaan 100 peratus dilaksanakan oleh kakitangan PDRM Selangor ialah sebanyak RM3.4 juta setahun.

Jumlah ini adalah kutipan tertinggi zakat bagi seKtor kerajaan selain AG Kementerian Pelajaran dan AG negeri Selangor.

Selain itu, melalui bengkel ini LZS dapat menyebarluaskan dakwah zakat kepada kakitangan PDRM melalui pengisiannya iaitu ceramah bertajuk Pelaburan Dunia dan Akhirat, Taklimat Skim Berkat bertajuk “Adakah Saya Layak” dan sesi Pengalaman Agihan Zakat di LZS.

Bengkel kiraan zakat dan soal jawab turut diadakan bagi memberi pemahaman sepenuhnya kepada peserta dalam soal kiraan zakat.

Bengkel setengah hari ini yang melibatkan 170 orang peserta yang terdiri dari ketua-ketua jabatan, ketua-ketua polis daerah, wakil-wakil dari unit gaji IPD telah dirasmikan oleh Ketua Polis Selangor, DCP Dato’ Khalid bin Abu Bakar.

Turut hadir, Pengurus Besar LZS, Ahmad Shahir Makhtar, Timbalan Ketua Polis Selangor, SAC I Dato Jamshah Bin Mustapa dan Ketua Jabatan Dakwah dan Kutipan LZS, Adibah Abdul Wahab.