BANTUAN KECEMASAN MANGSA RIBUT



Kuala Selangor – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS terus memainkan peranan aktif membantu umat Islam apabila menyalurkan bantuan kecemasan kepada mangsa ribut di Tanjung Karang pada 9 Mac lalu di sini.

Menurut Pegawai Agihan Zakat, Daerah Tanjung Karang, Ustaz Azman Jaafar kejadian ribut tersebut telah berlaku pada 7 Mac kira-kira jam 8.45 malam. Setelah mendapat aduan masyarakat, pihak LZS (MAIS) Tanjung Karang telah mengambil tindakan segera dengan mengunjungi lokasi bencana dan membuat taksiran awal kerugian berkaitan.

Turut sama dalam lawatan pada 8 Mac itu ialah ketua kampung dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Hasilnya, sebanyak 22 buah rumah telah dikenalpasti layak oleh untuk menerima bantuan yang bernilai di antara RM100 ke RM300 seorang bergantung kepada kerosakan yang dialami. Bantuan itu diklasifikasikan sebagai bantuan bencana alam.

Mereka yang menerima bantuan merasa amat bersyukur dengan bantuan yang diterima. Bagi mereka, bantuan yang diberikan dapat meringankan sedikit bebanan yang dialami.

Majlis penyampaian itu telah dihadiri oleh beberapa pemimpin setempat iaitu Dato Noh Omar, Ahli Parlimen Tg Karang dan Tn Hj Shamsuddin Lias, ADUN Sg Burung, pegawai-pegawai dari LZS (MAIS), JKM Daerah Kuala Selangor dan ketua-ketua kampung.

Majlis penyampaian tersebut telah disempurnakan di Balai Penghulu Mukim Tg Karang.