BANTUAN HAMPIR RM7.9 JUTA UNTUK ANAK-ANAK FAKIR MISKIN MULAKAN PERSEKOLAHAN



Tarikh : 3/12/2008
Penulis : zool; Gambar: zool

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan hampir RM7.9 juta untuk anak-anak fakir miskin di Selangor bagi memulakan sesi persekolahan tahun depan.

Bantuan ini melibatkan kira-kira 21,186 orang pelajar yang akan mula memasuki sesi persekolahan termasuk di peringkat tadika, sekolah kebangsaan, sekolah kebangsaan agama, sekolah menengah kebangsaan serta sekolah menengah agama dengan bantuan berbentuk wang tunai bagi pembayaran yuran dan pembelian keperluan peralatan sekolah.

Bagi peringkat tadika, bantuan adalah bernilai RM210 seorang, sekolah kebangsaan dan sekolah rendah agama pula antara RM260 hingga RM310, manakala sekolah menengah kebangsaan dan sekolah menengah agama pula di antara RM370 hingga RM610 seorang.

Di samping itu, LZS juga turut memberi kursus-kursus berkaitan untuk anak-anak fakir miskin ini. Antaranya kursus kecemerlangan diri dan kursus motivasi bagi menghadapi peperiksaan.

Melalui bantuan ini adalah diharapkan akan dapat meringankan beban ibu bapa yang hidup dalam kemiskinan. Bantuan ini juga dilihat dapat memberi suntikan semangat kepada anak-anak fakir miskin ini supaya tidak melihat kemiskinan itu sebagai halangan untuk berjaya.