BANK RAKYAT SERAH ZAKAT PERNIAGAAN LEBIH RM3 JUTA KEPADA LEMBAGA ZAKAT SELANGOR



Tarikh : 4/22/2009
Penulis : Editor

SHAH ALAM – Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) menyerahkan cek zakat perniagaan berjumlah RM3,383,271.00 bagi tahun kewangan 2008 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS). DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima zakat tersebut di Istana Bukit Kayangan, di sini pada 20 April 2009.

Secara keseluruhannya Bank Rakyat menunaikan zakat di Malaysia berjumlah RM33.4 juta pada tahun kewangan 2008 berbanding sebanyak RM31.9 juta tahun kewangan sebelumnya. Bank Rakyat diwakili oleh Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Kamaruzzaman Che Mat. Zakat yang dibayar adalah berdasarkan bilangan pendeposit institusi berkenaan di Selangor.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Pengerusi LZS Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Syed Putra Jamalullai dan Pengurus Besar LZS, Hj. Ahmad Shahir Makhtar.