BANK RAKYAT SERAH ZAKAT PERNIAGAAN LEBIH RM3 JUTA KEPADA LEMBAGA ZAKAT SELANGOR, TERTINGGI DI MALAYSIA



Shah Alam — Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) hari ini menyerahkan cek zakat perniagaan berjumlah RM3,121,750.00 bagi tahun kewangan 2007 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS). DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima zakat tersebut di Istana Bukit Kayangan di sini pada 6 Jun.

Bank Rakyat diwakili oleh Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, YB Datuk Noh Omar. Zakat yang dibayar adalah berdasarkan bilangan pendeposit institusi berkenaan di Selangor. Jumlah ini adalah yang tertinggi berbanding zakat negeri lain di Malaysia.

Secara keseluruhannya Bank Rakyat menunaikan zakat di Malaysia berjumlah RM31.9 juta pada tahun kewangan 2007 berbanding sebanyak RM30.1 juta tahun kewangan sebelumnya.

Turut hadir, Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor yang juga Pengerusi LZS, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Dato’ Prof. Dr. Syed Jalaludin Syed Salim, Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Kamaruzzaman Che Mat dan Pengurus Besar LZS, Hj. Ahmad Shahir Makhtar.