ASNAF TIDAK HARUS BERGANTUNG KEPADA BANTUAN ZAKAT SEMATA-MATA: RAHMAN



Gombak–YB Datuk Dr. Rahman bin Ismail, Ahli Parlimen Gombak menyarankan kepada penerima bantuan kewangan bulanan Lembaga Zakat Selangor LZS (MAIS) supaya tidak terus menerus bergantung kepada bantuan zakat semata–mata untuk menampung keperluan harian mereka.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian di majlis penyampaian bantuan kewangan bulanan daerah Gombak pada 22 Mac 2006 di sini.

Tambahnya, kurniaan Allah s.w.t seperti kesihatan tubuh badan perlu digunakan sepenuhnya untuk memperbaiki taraf hidup mereka agar bantuan zakat dapat diagihkan pula kepada golongan seperti mereka yang kurang berkemampuan daripada segi fizikal.

Majlis yang telah diadakan bertempat di Dewan Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak itu turut dihadiri oleh Al-Fadhil Tuan Jaafar bin Ismail, Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Gombak.

Ketika menyampaikan ucapan aluan, beliau turut menyentuh soal kewajipan untuk mensyukuri nikmat dan bantuan yang telah diberikan dengan mempertingkatkan amalan serta ibadah harian di kalangan asnaf yang hadir.

Majlis telah dimulakan dengan sesi taklimat oleh Pengarah Program, Ustaz Masrol bin Mohd Rasid manakala Puan Raja Maimunah telah menyampaikan taklimat ringkas berkaitan aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan oleh Kumpulan Usahawan Asnaf Zakat. Pengisian rohani pula telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Uda bin Kasim, Eksekutif Dakwah dan Penerangan, LZS (MAIS).

Sejumlah lebih RM200 ribu telah diagihkan kepada 500 orang penerima dari seluruh daerah Gombak Timur dan Barat.

Menurut Ketua Operasi Wilayah Timur, Muhammad Rizal Shah Harudin, majlis serupa telah diadakan bagi daerah Hulu Selangor pada 16 Mac lalu bagi pengagihan bantuan kewangan bulanan daerah itu.