ASNAF LZS KELUARKAN ZAKAT PERTAMA



Kuala Langat – Salah seorang asnaf Lembaga Zakat Selangor(MAIS) yang menerima bantuan zakat telah mula menunaikan zakat untuk dirinya bagi kali pertama baru-baru ini. Puan Afidah bt Sahit merupakan ibu tunggal kepada 4 orang anak telah mula menerima bantuan zakat sejak kematian suaminya pada tahun 2004 yang lepas.

Sejak 3 tahun lepas juga LZS telah memberikan bantuan asas kepada beliau dan keluarganya seperti bantuan Hari Raya, bantuan bulanan dan bantuan persekolahan kepada anak-anak beliau yang masih bersekolah. Selain itu, melihat kepada potensi yang ada pada beliau, LZS telah memberikan bantuan modal pusingan, bantuan peralatan dan premis perniagaan kepada beliau untuk menjalankan perniagaan membuat kek, roti dan muffin di hadapan rumahnya. Beliau mula menjalankan perniagaan setelah mendapat latihan dan bimbingan yang diberikan oleh LZS.

Berkat kesungguhan dan usaha beliau disamping pemantauan yang diberikan LZS, perniagaan beliau menjadi semakin maju dan mula menampakkan hasil yang diharapkan. Beliau telah mengeluarkan zakat perniagaan pada bulan Oktober sebanyak RM400 di Kaunter Zakat LZS Kuala Langat kepada pegawai zakat En Fadhli bin Yohman. Semoga perniagaan beliau akan terus maju.