APLIKASI PINTAR EZAKAT: MEDIUM BARU DAKWAH ZAKAT



SHAH ALAM, 13 April 2015 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) meneroka aplikasi telefon pintar dengan memperkenalkan Ezakat sebagai salah satu medium baru bagi mengoptimumkan penyampaian dakwah zakat.

Dengan menyediakan maklumat di hujung jari, aplikasi ini dilengkapi dengan kalkulator zakat untuk memudahkan pengguna membuat pengiraan, info-info berkaitan zakat dan kaedah pembayaran zakat. Di samping itu, melalui aplikasi ini pengguna turut boleh menyemak rekod bayaran zakat mereka.

Menariknya, Ezakat turut memperkenalkan fungsi Lapor Asnaf yang membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat berkenaan individu atau keluarga yang memerlukan bantuan.

Melalui fungsi tersebut, pengguna hanya perlu mengisi maklumat lengkap berkaitan individu atau keluarga yang ingin dibantu beserta gambar sekiranya ada. Pihak LZS akan turun padang membuat siasatan setelah mendapat maklumat penuh daripada laporan yang diterima. Proses ini mengambil masa dalam tempoh 14 hari waktu bekerja.

Aplikasi Ezakat ini boleh dimuat turun secara percuma di Playstore untuk versi android dan Applestore untuk versi iOS.