ANAK FAKIR MISKIN DIWAJIBKAN BELAJAR – DATO’ MB



Sungai Besar – Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr. Mohamad Khir Toyo telah menegaskan setiap anak fakir miskin yang terdapat di Selangor diwajibkan belajar sekurang-kurangnya di peringkat kursus kemahiran di bawah kelolaan Lembaga Zakat Selangor (MAIS).

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Menyampaikan Hakmilik Tanah Daerah Sabak Bernam, Pengagihan Zakat Asnaf Fakir Miskin dan Moreh Parlimen Sungai Besar pada 15 September yang lalu.

“Jika seorang sahaja daripada satu keluarga fakir miskin itu dihantar belajar kemahiran oleh LZS (MAIS), apabila tamat pengajian dan si anak itu memperoleh pendapatan RM1,000 sahaja sudah cukup untuk mengeluarkan keluarganya daripada belenggu kemiskinan,” tegas beliau.

Sebelum ini, LZS (MAIS) telah menaja seramai 291 pelajar yang terdiri daripada anak asnaf fakir/miskin di peringkat Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) di Inpens International College yang melibatkan lima kursus iaitu Pelukis Plan Kejuruteraan Mekanikal, Pembuat Pakaian Wanita, Mekanik Kenderaan Motor, Juruteknik Elektrik Rendah dan Pembantu Juruteknik Sistem Komputer.

Setiap pelajar ditaja LZS (MAIS) sebanyak RM5,000 setahun yang meliputi yuran kursus, tempat tinggal, belanja makan dan elaun poket bulanan.

Sementara itu, pada majlis tersebut LZS (MAIS) telah mengagihkan sebanyak RM249,750 kepada 354 orang asnaf miskin sekitar Sungai Besar bagi meringankan beban dan memceriakan mereka menyambut Ramadhan dan Aidilfitri.

Turut hadir pada majlis tersebut, Pengurus Besar LZS (MAIS), Tuan Haji Ahmad Shahir Makhtar.