AGIHAN ZAKAT SEMPENA RAMADAN DAN HARI RAYA BANTU FAKIR/MISKIN RINGANKAN BEBAN



Seperti tahun-tahun yang lalu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui Lembaga Zakat Selangor (MAIS) mengagihkan bantuan zakat kepada golongan fakir dan miskin di Selangor menjelang Ramadan dan Hari Raya bagi memastikan mereka dapat membuat persiapan Ramadan dengan lebih sempurna dan menyambut Hari Raya dengan lebih gembira.

Selain itu, pengagihan bantuan ini dilaksanakan lebih awal bagi membolehkan penerima zakat meringankan bebanan mereka dan menumpukan perhatian kepada melaksanakan ibadah di bulan Ramadan.

Agihan sempena bulan Ramadan dan Hari Raya ini bermula pada 19 Julai hingga 14 Ogos melibatkan sebanyak 41 program di seluruh Selangor. Sebanyak RM14,240,950 diperuntukkan untuk diagihkan kepada 19,008 keluarga fakir dan miskin di Selangor.

Daripada jumlah tersebut sebanyak RM8,975,300 diagihkan kepada golongan miskin, manakala RM5,265,650 diagihkan kepada golongan fakir.

Di Selangor terdapat seramai 12,159 keluarga asnaf miskin berbanding 11,114 keluarga tahun lalu, manakala bagi asnaf fakir pula terdapat seramai 6,849 keluarga berbanding  7,238 keluarga fakir tahun lalu.

Daerah Hulu Langat mencatatkan bilangan paling ramai menerima bantuan iaitu kira-kira 3,529 keluarga dengan nilai bantuan sebanyak RM2,647,750. Ini diikuti daerah Kuala Selangor seramai 2,621 keluarga (RM1,923,800), Sabak Bernam seramai 2,493 keluarga (RM1,753,150) dan Petaling seramai 2,197 keluarga (RM1,704,850).

Manakala Klang seramai 1,995  keluarga (RM1,532,900), Hulu Selangor seramai 1,823 keluarga (RM1,385,800), Gombak seramai 1,773 keluarga (RM1,348,300), Kuala Langat seramai 1,659 keluarga (RM1,263,700), Sepang seramai 570 keluarga (RM429,400) dan penempatan berkelompok seramai 348 keluarga (RM251,300).

Bentuk Agihan
Bantuan zakat yang dihulurkan kali ini adalah berupa wang tunai. Setiap asnaf fakir menerima  bantuan di antara RM600 sehingga  RM1,000 bagi satu keluarga bergantung kepada tanggungan.

Manakala bagi asnaf miskin pula menerima wang tunai antara RM550 sehingga RM1,000 bagi satu keluarga berdasarkan kepada tanggungan.

Bantuan yang diterima ini diharap, dapat digunakan sebaiknya agar dapat meringankan bebanan keluarga disamping dapat merasai kegembiraan menyambut Hari Raya kelak.