700 ORANG SERTAI PROGRAM #FREEMARKET LZS



SHAH ALAM, 13 Jun 2015 – Seramai 700 orang membanjiri Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi menyertai program berbentuk amal #FreeMarket LZS yang diadakan bertempat di Bangunan Zakat Selangor di sini hari ini.

Menurut Pengurus Besar Komunikasi Korporat, Norajun Ainun Mohd Hashim, program #FreeMarket LZS menggalakkan para pengunjung yang hadir menyumbangkan barangan sama ada yang masih baru ataupun terpakai untuk diberi secara percuma kepada mereka yang memerlukan.

 

11535923_10153338158331221_4915146866969757346_n

“Yang lebih istimewa, seramai 200 orang asnaf dari daerah Petaling dan Klang turut dijemput untuk sama-masa menyertai program ini dan membawa pulang barang-barang di sini semuanya secara percuma. Malah hari ini juga kami ada 20 orang penyumbang yang turut sama ada untuk menyerahkan sumbangan mereka. Namun ramai yang menghantar barangan mereka secara walk-in pada hari ini.”

Salah seorang penyumbang yang ditemui, Sakinah Ramli berkata beliau berasa seronok dan teruja menyumbang barangan peribadinya dan keluarga bersama asnaf yang kurang bernasib baik.

“Saya memang selalu menyertai aktiviti seperti ini. Tidak sangka sambutan yang diterima amat menggalakkan. Saya rasa berpuas hati apabila barangan yang saya sumbangkan ini habis diambil orang,” ujarnya.

Sementara itu, Zulkifli Rahman yang merupakan asnaf dari daerah Klang mengucapkan terima kasih kepada LZS atas penganjuran program seperti ini.

“Syukur kerana ada program seperti ini. Maklumlah tidak lama lagi hendak Ramadan dan Syawal. Sekurang-kurangnya barangan percuma yang ada ini dapat membantu asnaf seperti kami.”