70 KOPERASI IKUTI SEMINAR ZAKAT PERNIAGAAN



SHAH ALAM, 12 April 2012 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) bekerjasama dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan (ANGKASA) dan koperasi-koperasi di Selangor bagi menganjurkan Seminar Zakat Perniagaan Koperasi Selangor yang melibat 140 orang pemimpin koperasi dari seluruh Selangor. Seminar berkenaan dirasmikan oleh Prof. Madya Dato’ Syed Ghazali Wafa Adwam Wafa, Ahli Jawatankuasa Kutipan LZS.

Seminar yang turut melibatkan Koperasi Dewasa dan Koperasi Sekolah ini adalah bertujuan untuk memberikan kesedaran dan kefahaman mengenai kepentingan ibadah zakat kepada pihak Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan Koperasi, khususnya mengenai zakat dalam perniagaan. Para peserta turut didedahkan tentang corak agihan zakat oleh LZS di Selangor.

Pada tahun 2011, statistik menunjukkan terdapat 470 buah koperasi yang berdaftar dengan pihak ANGKASA di Selangor. Daripada jumlah itu, hanya 54 buah yang tampil menunaikan zakat dengan jumlah kutipan zakat perniagaan sebanyak RM700 ribu. Sehubungan itu, adalah diharapkan lebih banyak koperasi akan menjelaskan zakat perniagaan selepas ini, seiring dengan perlantikan ANGKASA sebagai wakil kutipan zakat perniagaan oleh LZS.

Turut hadir ialah, Presiden ANGKASA, Prof. Dato’ Dr. Mohd Ali Baharum, Pengurus Besar Kutipan LZS, Sahadan Ishak dan Timbalan Pengurus Besar Agihan LZS, Adibah Abdul Wahab.