60 KELUARGA ASNAF MUSIBAH BANJIR KUALA KRAI TERIMA RUMAH LZS



KUALA KRAI, 26 Jan 2016 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) membina penempatan bagi 60 keluarga fakir dan miskin di daerah ini yang terbabit dengan banjir besar pada penghujung Disember 2014 melibatkan sumbangan wang zakat berjumlah RM10.2 juta.

Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra ibni Sultan Ismail Petra berkenan menyampaikan kunci rumah di Majlis Perasmian dan Pengurniaan Kunci Rumah Kepada Mereka Yang Ditimpa Musibah Banjir di Laman Seri Ehsan, Kampung Telekong di sini hari ini.

Pembinaan Laman Seri Ehsan bertujuan untuk menyediakan kediaman selesa kepada asnaf fakir dan miskin yang ditimpa musibah banjir melalui manfaat daripada dana zakat Selangor.

IMG_4133

Pemilihan 60 keluarga asnaf ini dilakukan melalui satu sesi bancian yang dilaksanakan pada Oktober hingga November 2015.  Ia bagi memastikan kelayakan mereka memenuhi kriteria dan syarat yang telah ditetapkan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK) dan Majlis Daerah Kuala Krai.

Rumah dengan keluasan 869 kaki persegi mempunyai tiga bilik tidur dan dua tandas serta dilengkapi perabot dengan anggaran nilai keseluruhan RM62,000 sebuah. Laman Seri Ehsan turut dilengkapi dengan infrastruktur yang kondusif seperti surau, dewan serba guna dan enam lot kedai serta kemudahan bekalan air bersih dan elektrik.

Serentak dengan majlis tersebut, penempatan ini akan diuruskan oleh pihak MAIK selaku pemegang amanah dengan pemantauan LZS bermula pada hari ini.

Sementara itu, Mariam Majid, 46 berkata sumbangan rumah dari LZS ini amat bermakna buat beliau sekeluarga. “Setelah kehilangan harta benda semasa bah dahulu, saya amat berterima kasih kepada pengeluar zakat di Selangor yang prihatin dengan nasib asnaf di sini.”

Hadir sama, Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Tuanku Syed Putra Jamalullail, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, ahli-ahli Dewan DiRaja Selangor dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali.