563 ANAK FAKIR DAN MISKIN TERIMA ANUGERAH KECEMERLANGAN PELAJAR



Tarikh : 7/27/2009
Penulis : Editor

Shah Alam – Seramai 563 orang anak asnaf fakir dan miskin Negeri Selangor yang mencatatkan keputusan cemerlang pada peperiksaan tahun lalu menerima anugerah daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) baru-baru ini. Mereka terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah yang dibiayai sepenuhnya oleh LZS.

Daripada jumlah tersebut, seramai 100 orang merupakan pelajar cemerlang dalam Ujian Penilaian Sijil Rendah (UPSR), 216 pelajar Penilaian Sijil Rendah Agama (PSRA), 137 pelajar Penilaian Menengah Rendah (PMR), 93 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan empat orang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta lima orang pelajar menerima anugerah cemerlang bagi Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Kecemerlangan pelajar adalah berdasarkan jumlah A yang diperoleh iaitu minimum 4A bagi setiap peperiksaan kecuali bagi STPM iaitu minimum 3A.

Turut disampaikan Anugerah Bestari bagi pelajar yang terbaik keseluruhan yang disandang oleh Ahmad Fikri Husrin yang memperoleh 11 A dalam peperiksaan SPM.

Kecemerlangan anak asnaf ini adalah hasil usaha LZS melalui penyaluran wang zakat di bawah program pembangunan pendidikan. Usaha ini dilaksanakan sebagai strategi pembasmian kemiskinan dengan tertumpu pada generasi muda. Pada tahun lalu, LZS telah menyalurkan RM42.7 juta untuk tujuan tersebut. Bantuan adalah meliputi kesemua berkaitan pendidikan termasuklah pembayaran yuran sekolah, kelengkapan persekolahan, biasiswa pelajaran, bantuan umum pelajaran dan sebagainya. Selain itu mereka juga turut diberikan kursus-kursus yang berkaitan bagi memastikan kecemerlangan berterusan.

Semua pelajar menerima sijil, wang tunai serta hadiah iringan dan disampaikan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato Setia Mohamad Adzib Mohd Isa.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor, Dr. Halimah Ali dan Pengurus Besar LZS, Ahmad Shahir Makhtar.