493 MAHASISWA TAJAAN LZS (MAIS) DIRAIH



Shah Alam – Seramai 493 orang daripada 791 mahasiswa tajaan Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS daripada pelbagai Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta dalam negara diraikan di dalam Majlis Ramah Mesra Pelajar IPT Tajaan LZS (MAIS) pada 5 julai di sini.

Pengerusi MAIS, Y.A.D Dato, Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa berkenan merasmikan majlis tersebut.

Dalam ucapannya, Mohamad Adzib menyeru agar semua mahasiswa tajaan LZS (MAIS) dapat belajar bersungguh-sungguh dan menggunakan sebaik-baiknya peruntukan tajaan yang diberikan LZS (MAIS).

Selain itu, Mohamad Adzib dalam ucapannya juga, mengumumkan kenaikan elaun wang saku bulanan yang diterima pelajar daripada RM100 sebulan kepada RM150 sebulan. “Saya harap para pelajar dapat menggunakan wang saku ini dengan sebaik-baiknya dan jangan habiskan untuk membeli top up telefon sahaja,” tegas beliau.

Beliau juga turut mengumumkan elaun tambahan kepada pelajar yang mengambil kursus bahasa asing di dalam pengajiannya. “Kita akan tambah RM50 bagi setiap bahasa yang dipelajari sebagai dorongan dan galakan kepada mereka,” jelas beliau lagi

Daripada jumlah 791 orang itu, seramai 335 orang mahasiswa merupakan pelajar yang baru mula menerima penajaan pada tahun 2007 dan selebihnya adalah pelajar lama. LZS (MAIS) mula membuka penajaan pengajian kepada anak-anak negeri Selangor sejak tahun 2005.

Sehingga kini, lebih RM6.5 juta telah diperuntukkan bagi penajaan pembiayaan pendidikan di dalam negeri ini. Bagi bulan Januari sehingga Jun tahun 2007 sahaja, LZS (MAIS) memperuntukkan sebanyak RM1.9 juta.

Antara kursus-kursus yang diikuti ialah Diploma Pengurusan Pelancongan, Perbankan Islam, Pengurusan Maklumat, Pengajian Perniagaan dan Kejururawatan. Manakala di peringkat Ijazah pula ialah Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan, Sains dan Pendidikan.

LZS (MAIS) turut membuat penajaan di dalam bidang kemahiran dan vokasional seperti juruteknik elektrik rendah, mekanik kenderaan motor, pelukis plan, jurukomputer dan pembuatan pakaian.