49,158 ORANG PELAJAR ASNAF FAKIR DAN MISKIN TERIMA AGIHAN PERSEKOLAHAN RM25.2 JUTA



SHAH ALAM, 24 November 2015 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan zakat sebanyak RM25,156,300 kepada 49,158 orang anak-anak asnaf fakir dan miskin sebagai persediaan bagi sesi persekolahan 2016.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM6,401,570 diagihkan kepada 13,030 orang pelajar asnaf fakir dan RM18,754,730 kepada 36,128 orang pelajar asnaf miskin. Mereka yang menerima bantuan zakat ini terdiri daripada para pelajar peringkat pra sekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah di seluruh Selangor.

Melalui bantuan agihan itu, setiap pelajar sekolah rendah kebangsaan dan sekolah rendah agama masing-masing akan menerima sebanyak RM150 bagi membiayai yuran persekolahan, manakala pelajar sekolah menengah kebangsaan dan sekolah menengah agama pula akan menerima sebanyak RM250. Sementara bagi pelajar pra sekolah akan menerima sebanyak RM100.

Di samping itu, setiap pelajar turut menerima bantuan pakaian sekolah dan peralatan sekolah bernilai di antara RM150 hingga RM200, di mana para penerima boleh mendapatkan keperluan tersebut di Pasar Raya Sakan, Mydin dan Jakel yang terpilih di sekitar Selangor dengan menggunakan MyKad ketua keluarga sebagai rujukan.

Majlis penyerahan agihan persekolahan ini telah bermula 17 November  lalu dan dijangka akan berakhir pada 5 Disember melibatkan 26 program di seluruh Selangor. Manakala agihan pendidikan untuk fasa kedua akan menyusul kemudian.