45 ORANG USAHAWAN ASNAF TERIMA LORI



SHAH ALAM, 18 Mac 2015 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan bantuan zakat berupa lori bergerak beserta modal pusingan dan barangan kepada 45 orang usahawan mobil terdiri daripada asnaf fakir dan miskin dengan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM2,475,000.00.

Majlis penyampaian disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa bersempena dengan Majlis Anugerah dan Penghargaan LZS 2014 di Wisma PKPS di sini.

Salah seorang asnaf yang ditemui, Mohd Naim Hamzah, 48, berkata dia kini mampu menyara keluarga dan keluar dari kepompong kemiskinan dengan bantuan lori bergerak daripada LZS itu.

“Saya bersyukur LZS menyumbang lori bergerak untuk memudahkan saya berniaga dan mengembangkan lagi perniagaan sedia ada. Terima kasih kepada LZS kerana memberi peluang kepada saya untuk keluar daripada golongan asnaf.”

Pada tahun lalu, LZS telah menyalurkan sebanyak RM22.2 juta bantuan zakat untuk tujuan pembangunan ekonomi asnaf. Bantuan tersebut disalurkan kepada para asnaf yang mempunyai potensi dalam bidang perniagaan seperti peruncitan, makanan, perkhidmatan, penternakan, pertanian, perikanan, lori bergerak, motor roda tiga dan sebagainya.

Turut hadir, Setiausaha MAIS, Dato’ Bakhtiar Hussin, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dato’ Siti Maslamah Osman, Dato’ Dr. Mohd Shahari Ahmad Jabar, Ahli Jawatankuasa Operasi Kutipan LZS, Dato’ Syed Mohd Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa dan Pengerusi MAIS Zakat Sdn Bhd, Dato’ Ibrahim Md. Yusof. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali.

 

LZS_3251