45 ANAK ASNAF CEMERLANG TERIMA ANUGERAH



SHAH ALAM, 23 JUN 2011 – Seramai 45 orang anak-anak asnaf zakat yang memperolehi minima 7A di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas diraikan dalam Majlis Anugerah Anak Asnaf Cemerlang 2010 di sini hari ini.

Mereka merupakan pelajar yang mendapat bantuan pendidikan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) termasuk ibu bapa yang disenaraikan sebagai penerima bantuan zakat. Daripada jumlah itu, 10 orang anak asnaf berjaya memperolehi semua A bagi semua subjek yang diambil. Manakala itu, pelajar di SMKA Ma’ahad Hamidiah, Kajang, Norathirah Mohd. Johari dinobatkan pelajar paling cemerlang apabila memperoleh 11A dan menerima Anugerah Bestari.

Pada tahun 2010, seramai 1,880 orang atau 91 peratus anak asnaf telah lulus di dalam SPM dan layak mendapat sijil. Manakala 802 orang (39 peratus) pula berjaya memperolehi minima 1A di dalam SPM.

Dalam majlis yang sama, 19 buah syarikat menunaikan bayaran zakat perniagaan yang berjumlah RM520,883.32. Antaranya ialah Kumpulan Semesta Sdn. Bhd., dengan jumlah sebanyak RM175,047.03; Jalur Cahaya Sdn. Bhd. (RM60 ribu); SRT-EON Security Services Sdn. Bhd. (RM50 ribu) dan Bank Simpanan Nasional sebanyak RM45,667.00.

Majlis dihadiri Pengerusi MAIS, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa sebagai tetamu kehormat. Turut hadir Mufti Negeri Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof dan Timbalan Pengurus Besar Pejabat Kutipan, LZS Adibah Abdul Wahab.