427 ANAK FAKIR MISKIN TERIMA ANUGERAH KECEMERLANGAN PELAJAR



Bangi – Seramai 427 orang anak asnaf fakir miskin negeri Selangor yang mencatatkan keputusan cemerlang pada peperiksaan tahun lalu menerima anugerah daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) di sini pada 16 Jun.

Mereka merupakan pelajar sekolah rendah, menengah dan institut pengajian tinggi yang dibiayai sepenuhnya oleh LZS (MAIS).

Daripada jumlah itu seramai 105 orang adalah pelajar cemerlang dalam Ujian Penilaian Sijil Rendah (UPSR), 113 pelajar Penilaian Sijil Rendah Agama (PSRA), 111 pelajar Penilaian Menengah Rendah (PMR), 77 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan seorang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Manakala tujuh orang pelajar menerima anugerah cemerlang bagi Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), dua pelajar peringkat Sijil, sembilan pelajar peringkat Diploma dan tiga pelajar peringkat Sarjana Muda.

Seramai 53 orang pelajar menerima anugerah paling cemerlang dalam kategori masing-masing iaitu 27 pelajar UPSR, lima pelajar PMR, dua pelajar SPM, 14 pelajar PSRA, lima pelajar STAM, dua pelajar peringkat Sijil, lima pelajar peringkat Diploma dan dua pelajar peringkat Sarjana Muda.

Kecemerlangan anak asnaf ini adalah hasil usaha LZS melalui penyaluran wang zakat dalam aspek pembangunan pendidikan. Usaha ini dilaksanakan sebagai strategi pembasmian kemiskinan dengan tertumpu pada generasi muda.

“Saya bersyukur dengan anugerah yang diterima. Terima kasih juga kepada LZS (MAIS) yang banyak membantu kami sekeluarga. Dengan bantuan yang ada dapat membantu saya untuk terus belajar. Maklumlah ayah saya telah lama meninggal dan ibu hanyalah bekerja menjual minyak atar dan memberi khidmat bekam sahaja untuk menyara kami sembilan beradik,” ujar Munirah Ahmad, 19 salah seorang penerima anugerah anak asnaf paling cemerlang. Beliau mendapat keputusan cemerlang dalam STAM dan amat meminati bahasa Arab berharab dapat menyambung pengajian di Universiti Malaya.

Pada tahun lalu, LZS (MAIS) telah menyalurkan RM8.9 juta untuk tujuan tersebut. Bantuan adalah meliputi pembayaran yuran, pakaian, kelengkapan persekolahan, dermasiswa dan sebagainya. Selain itu mereka juga turut diberikan kursus-kursus yang berkaitan bagi memastikan kecemerlangan berterusan.

Semua pelajar menerima sijil, wang tunai serta hadiah iringan dan disampaikan oleh Pengerusi LZS Dato’ Setia Hj Mohamad Adzib Mohd. Isa.