41 SYARIKAT TUNAI ZAKAT PERNIAGAAN RM5.6 JUTA



SHAH ALAM, 18 Disember 2013 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menerima zakat perniagaan daripada 41 buah syarikat berjumlah RM5,574,295.64. Majlis bayaran zakat ini disempurnakan Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, bertempat di Shah Alam Convention Centre (SACC) dekat sini.

Brahim’s Airline Catering Sdn Bhd mendahului senarai syarikat yang menunaikan zakat perniagaan, telah menyerahkan zakatnya berjumlah RM1,000,000.00, diikuti QSR Brands (M) Holdings Sdn Bhd (RM954,763.00), SIRIM QAS International Sdn Bhd yang membayar RM783,893.12 dan Seriemas Development Sdn Bhd sebanyak RM506,081.03.

Manakala syarikat lain yang turut menyerahkan zakat perniagaannya termasuklah, Affin Islamic Bank Berhad pula menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM466,666.67, Unitar Capital Sdn Bhd (RM427,653.33) dan Zaibar Automobile Industries Sdn Bhd sebanyak RM300,000.

Sehingga November 2013, LZS telah mengutip zakat perniagaan berjumlah RM70.5 juta dengan jumlah 4,476 pembayar. Pada tahun ini, LZS mensasarkan sebanyak RM90 juta dikutip melalui zakat perniagaan.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof, Pengurus Besar Kutipan, Roszy Non dan Timbalan Pengurus Besar Agihan, Abdul Basith Hamid.