4 SYARIKAT, 2 KOPERASI BAYAR ZAKAT HAMPIR RM1 JUTA



Shah Alam – Sebanyak empat buah Syarikat dan dua buah koperasi telah membayar zakat RM927,050.21 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS pada 29 November dalam satu majlis ringkas di sini.

Pengerusi LZS (MAIS) Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa telah menerima zakat-zakat tersebut daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebanyak RM742,598.47, Bank Pembangunan Malaysia Berhad berjumlah RM82,636.29 dan Takaful Nasional Berhad (RM71,027.00)

Manakala Advanced Power Solutions sebanyak RM9,681.00, Koperasi AIM Berhad dan Koperasi Pegawai-Pegawai Melayu Jabatan Pertanian Malaysia masing-masing berjumlah RM11,107.45 dan RM10,000.00.

TNB diwakili Pengurus Besar Negeri Selangor, Hussin Othman, manakala Bank Pembangunan oleh Pengerusinya Tan Sri Dato’ Seri Dr. Zainul Ariff Hussain. Takaful Nasional diwakili Ketua Jabatan Syariah, Dr.Zulkifli Zakaria dan Advanced Power Solutions oleh Pengurus Pentadbiran, Zainur Rashid Mahmud,

Sementara itu Koperasi AIM Berhad diwakili pengarahnya, Mohd Ramdani Kassim dan Koperasi Pegawai-Pegawai Melayu Jabatan Pertanian Malaysia oleh Helmi Abd Rahman.

Pada majlis yang sama juga, sebuah sekolah, dan empat individu telah menerima bantuan zakat daripada LZS (MAIS). Sekolah Rendah Agama an-Nur, Kanchong Tengah, Banting menerima RM200,000 bagi pembinaan kelas. Penerima buah pinggang, Nor’Azima Kamaruddin menerima bantuan perubatan berjumlah RM10,980.

Manakala Mohammad Fakrullah Mohd Fuad menerima RM20,000 bagi menjalani pembedahan koklea dan Abdullah Abd Manan serta Kamaruddin Sankarajah menerima bantuan pembinaan rumah baru bernilai RM20,000.

Turut hadir Pengurus Besar LZS (MAIS), Ahmad Shahir Makhtar.