320 USAHAWAN ASNAF BERSEDIA CIPTA KEJAYAAN DALAM PERNIAGAAN



SHAH ALAM, 17 Oktober 2012 – Seramai 320 usahawan asnaf zakat berhimpun di Klinik Keusahawanan Asnaf 2012 anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) yang dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.

Program yang diadakan buat pertama kalinya ini, bertujuan menyuntik motivasi di kalangan usahawan asnaf dalam perniagaan. Pengisian program telah dilakukan oleh motivator terkenal iaitu Dr. Azizan Osman. Beberapa usahawan bekas asnaf yang berjaya juga turut diundang berkongsi pengalaman dalam klinik tersebut.

Program ini disasarkan kepada para asnaf yang menerima bantuan ekonomi LZS serta berpotensi untuk berjaya di samping membuka peluang mereka untuk membina jaringan perniagaan yang lebih luas. Mereka ini rata-ratanya terdiri daripada usahawan yang berkecimpung dalam perniagaan makanan, peruncitan, pembuatan dan perkhidmatan.

Salah seorang peserta yang ditemui, Siti Rahawati Muzir, 40 amat berterima kasih kepada LZS yang telah menjemput beliau untuk hadir ke program berkenaan.

“Saya sangat bersyukur terpilih. Inilah peluang bagi kami para usahawan asnaf untuk lebih bersemangat dalam merubah diri, terutamanya dalam perniagaan. Terima kasih kepada LZS kerana telah menyediakan program yang bermanfaat seperti ini.” Ujar beliau yang menerima bantuan berupa dua buah mesin jahitan.

Sementara itu, Osman Rahmat, 43 mengaku telah memilih untuk datang ke program bersama Dr. Azizan Osman dan meninggalkan isterinya di hospital, semata-mata mahu mendapatkan panduan dan teknik menjadi usahawan yang berjaya. Beliau kini merupakan pengusaha teksi bantuan zakat dan bercita-cita memiliki sebuah koperasi teksi di Puchong.

Para peserta lain turut tidak melepaskan peluang berinteraksi dengan Dr. Azizan Osman. Bahkan mereka melahirkan rasa amat gembira kerana berpeluang mendengar sendiri pelbagai tips perniagaan daripada beliau yang terbukti selama ini telah membantu ramai usahawan mencipta kejayaan.