32 PEGAWAI DAN KAKITANGAN SELANGOR DIKURNIA TUNAI HAJI



Tarikh : 7/10/2009
Penulis : ZANARIAH

Oleh: Khairul Izwan Bakeri
Klang – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengurniakan 32 individu terdiri daripada pegawai serta kakitangan kerajaan negeri menunaikan haji dalam Majlis Mengadap DYMM Sultan Selangor Bersama Bakal-Bakal Haji 2009 yang berlangsung di Istana Alam Shah baru-baru ini.

Kesemua bakal jemaah haji berkenaan menerima penajaan daripada enam institusi kerajaan negeri seperti Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Lembaga Zakat Selangor (LZS), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ). Baginda sendiri turut berkenan menaja jemaah terbabit selain Tabung Dato’-Dato’ dan Kerabat Diraja Negeri Selangor.

Daripada 32 individu tersebut, 11 orang bakal jemaah menerima tajaan daripada MAIS, tujuh daripada MBPJ, dua daripada MPAJ dan lima daripada LZS. Selain itu, tiga lagi menerima tajaan daripada Tabung Dato’-Dato’ dan Kerabat Diraja Negeri Selangor dan empat lagi merupakan tajaan DYMM Sultan Selangor.

Kurniaan ini merupakan salah satu usaha baginda serta kerajaan Selangor menghargai jasa serta sumbangan mereka terhadap agama Islam, negeri, masyarakat dan jabatan masing-masing.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Dato’ Menteri Besar Selangor, Y.A.B Tan Sri Abdul Khalid b. Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor, Y.B Dato’ Haji Hasan b. Mohamed Ali, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Haji Mohd Tamyes b. Haji Abdul Wahid, Pengerusi MAIS, Y.A.D Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib b. Mohd Isa dan Pengurus Besar LZS, Haji Ahmad Shahir b. Makhtar.