31 PEMENANG KUIZ ZAKAT DIRAIKAN



Shah Alam – Seramai 31 orang pemenang kuiz zakat anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS dengan kerjasama stesen radio Selangor.fm diraikan dalam satu majlis Penyampaian Hadiah Kuiz Zakat LZS-Selangor.fm yang diadakan di sini baru-baru ini.

Para pemenang menerima hadiah berupa wang sagu hati bernilai RM100 dan cenderahati dari LZS (MAIS) yang disampaikan oleh Timbalan Mufti Negeri Selangor, Dato’ Haji Abdul Majid Omar.

Kuiz ini dilihat sebagai saluran alternatif dan promosi terbaru zakat di negeri ini. Ia dijalankan sebanyak dua fasa melibatkan fasa pertama bermula dari bulan Mei hingga Julai 2007 dan fasa kedua bermula Ogos hingga Oktober 2007. Kuiz ini disiarkan berpandukan kepada kuliah khas zakat yang dikendalikan secara bersama di antara LZS (MAIS) dengan Selangor.fm pada setiap hari Rabu jam 6 petang. Ia telah menarik minat ramai peserta di seluruh Negeri Selangor.

Dalam majlis itu juga, turut diperkenalkan para pengacara radio dan personaliti agama yang sering menyampaikan kuliah di Selangor.fm.