28 CAWANGAN LZS DIBUKA TUJUH HARI SEMINGGU SEPANJANG DISEMBER



SHAH ALAM, 8 Disember 2015 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) membuka kesemua 28 cawangannya di seluruh negeri Selangor tujuh hari seminggu termasuk pada cuti umum sepanjang bulan ini.

Sehubungan dengan itu, waktu perkhidmatan seluruh cawangan bermula dari 8.30 pagi sehingga 4.30 petang pada hari bekerja, manakala pada hari Sabtu dan Ahad serta cuti umum, cawangan LZS akan dibuka dari pukul 9.00 pagi hingga 3.00 petang.

Bagaimanapun waktu operasi pada cuti umum sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor (11 Disember) dan Hari Krismas (25 Disember) akan bermula jam 9.00 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan runding cara zakat, taksiran pelbagai jenis zakat harta, bayaran zakat selain agihan zakat. Cawangan LZS turut menyediakan perkhidmatan pembayaran zakat menerusi kad kredit dan kad debit.

Selain daripada cawangan LZS, pembayaran zakat juga boleh dibuat dengan mengunjungi 12 kaunter zakat IPT yang dilantik. Kaunter tersebut terletak di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN). Kaunter IPT lain termasuklah di UNITAR International University, Cyberjaya Universitiy College of Medical Sciences, Universiti Multimedia (MMU), Infrastructure University Kuala Lumpur (IUKL), Universiti Selangor (UNISEL) dan Management Science University (MSU).

LZS berharap dengan perkhidmatan cawangan tujuh hari seminggu ini, dapat memudahkan orang ramai menunaikan ibadah zakat mereka sebelum berakhirnya tahun 2015.