26 CAWANGAN LZS DIBUKA TUJUH HARI SEMINGGU



SHAH ALAM, 22 Disember 2014 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) membuka kesemua 26 cawangannya di seluruh negeri Selangor tujuh hari seminggu termasuk pada cuti umum sepanjang bulan ini.

Sehubungan dengan itu, waktu perkhidmatan seluruh cawangan bermula dari 8.30 pagi sehingga 4.30 petang pada hari bekerja, manakala pada hari Sabtu dan Ahad serta cuti umum, cawangan LZS akan dibuka dari pukul 9.00 pagi hingga 3.00 petang.

Orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan runding cara zakat, taksiran pelbagai jenis zakat harta, bayaran zakat selain agihan zakat. Cawangan LZS turut menyediakan perkhidmatan pembayaran zakat menerusi kad kredit dan kad debit.

Selain daripada cawangan LZS, pembayaran zakat juga boleh dibuat dengan mengunjungi lapan kaunter zakat IPT yang dilantik LZS. Kaunter tersebut terletak di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Multimedia (MMU), Universiti Antarabangsa UNITAR, dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

LZS berharap dengan perkhidmatan kaunter tujuh hari seminggu ini, dapat memudahkan orang ramai menunaikan ibadah zakat mereka sebelum berakhirnya tahun 2014.