250 USAHAWAN ASNAF LZS TERIMA SUNTIKAN MOTIVASI 



SHAH ALAM, 24 Oktober 2018 – Seramai 250 usahawan asnaf zakat berhimpun bersempena dengan program Transformasi Usahawan Asnaf (TUAS) 2018 anjuran Teraju Ekonomi Asnaf (TERAS)  Sdn Bhd dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) yang disempurnakan oleh Pengerusi TERAS, Dato’ Ibrahim Md. Yusof.

Program ini mensasarkan usahawan asnaf zakat yang menerima bantuan perniagaan dari LZS dan berpotensi untuk keluar dari kategori asnaf. Melalui program ini, para usahawan asnaf diberi suntikan motivasi untuk memajukan diri dan perniagaan seterusnya keluar dari kepompong kemiskinan.

Selain itu, ia menjadi platform kepada usahawan asnaf membina jaringan perniagaan yang lebih luas, di samping memberi pendedahan berkenaan peluang pembiayaan kewangan dan pengembangan perniagaan dari agensi-agensi lain.

Dalam majlis yang sama, 10 orang usahawan asnaf zakat menerima pengiktirafan atas kejayaan mereka dalam perniagaan. Mereka ini merupakan penerima bantuan modal perniagaan dari LZS dan kini merupakan bekas asnaf yang berjaya membina empayar perniagaan masing-masing. Setiap mereka ini menerima sijil dan plak penghargaan atas kecemerlangan mereka dalam perniagaan.

Pada tahun 2017, seramai 180 orang usahawan asnaf zakat berjaya dibentuk menerusi pakej bantuan perniagaan LZS, yang kemudian mendapat bimbingan kursus bersesuaian dan pemantuan perniagaan oleh TERAS. Tahun ini, LZS menyasarkan seramai 200 asnaf bakal keluar daripada kategori asnaf fakir dan miskin.

Turut hadir, Ketua Pegawai Penyelaras (Officer In Charge) LZS , Abdul Basith Hamid.