23,488 KELUARGA ASNAF FAKIR/MISKIN JALANI SEMAKAN SEMULA ASNAF



Shah Alam, 22 Februari 2011 – Lembaga Zakat Selangor akan melaksanakan proses semakan semula asnaf fakir dan miskin 2010 melibatkan 23,488 buah keluarga asnaf fakir dan miskin, bermula Januari dan dijangka berakhir pada bulan Jun 2011 di sembilan buah daerah di Selangor.
Menurut Eksekutif Kanan Bahagian Operasi Pejabat Cawangan Lembaga Zakat Selangor (LZS), Zaidi Rasid, semakan semula ini dilaksanakan bertujuan untuk mengenal pasti asnaf fakir dan miskin yang tersenarai sebelum ini layak, di samping memastikan maklumat yang diberikan sewaktu bancian fakir dan miskin benar dan tepat.

“Semakan semula ini melibatkan ketua keluarga asnaf fakir dan miskin akan dijalankan sendiri oleh pegawai agihan zakat daerah dengan mendapat kerjasama daripada ketua-ketua kampung dan penolong amil kariah. Melalui semakan tersebut, asnaf yang tidak layak akan dikeluarkan daripada kategori asnaf. Sehubungan dengan itu, semua asnaf yang terlibat diminta bekerjasama memberi maklumat yang tepat semasa proses semakan dijalankan. “