2013: KUTIPAN LZS RM517.4 JUTA DAN AGIH RM463.5 JUTA



SHAH ALAM, 21 Januari 2014 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mencatatkan jumlah kutipan zakat 2013 sebanyak RM517.4 juta iaitu peningkatan 14.6 peratus berbanding tahun sebelumnyaRM451.3 juta.

Menurut Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, daripada jumlah tersebut, RM497.9 juta dikutip melalui zakat harta. Kutipan zakat pendapatan menjadi penyumbang terbesar di LZS iaitu sebanyak RM308.5 juta dan diikuti zakat perniagaan sebanyak RM92.7 juta.

Beliau berkata demikian semasa sidang media Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat 2013 di Bangunan Sultan Idris Shah.

“Jumlah kutipan zakat ini menyumbang kepada peningkatan jumlah agihan zakat pada 2013 iaitu sebanyak 15.4 peratus bersamaan dengan RM463.5 juta. Pada tahun 2012, LZS mengagihkan sebanyak RM401.7 juta.”

Daripada jumlah tersebut, RM177.6 juta telah diagihkan kepada 30,950 keluarga asnaf fakir dan miskin di Selangor.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.