200 KOMPUTER RIBA UNTUK MAHASISWA TAJAAN LZS



SHAH ALAM, 13 Mac – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyerahkan 200 buah komputer riba bernilai RM2,000 setiap satu kepada 200 orang mahasiswa daripada keluarga asnaf fakir dan miskin yang mendapat dermasiswa LZS. Majlis penyerahan disempurnakan oleh Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid bertempat di Dewan Naib Canselor, Universiti Selangor (UNISEL) di sini.

Mereka terdiri daripada pelajar tajaan LZS yang sedang mengikuti pengajian di institusi pangajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S) di seluruh negara. Bantuan komputer riba ini diberikan sebagai kemudahan tambahan kepada mereka selain menerima bantuan sara diri bulanan dan pembiayaan yuran pengajian.

Sebelum ini, LZS telah memulakan pemberian komputer riba sejak tahun 2004 kepada mereka yang cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.0 ke atas dan ia dibuat berdasarkan permohonan dan memenuhi kriteria tertentu. Walau bagaimanapun, bermula pada tahun ini mereka yang memperolehi PNGK 2.5 ke atas sudah layak menerima bantuan ini secara automatik daripada LZS.

Mahasiswi yang ditemui, Hidayatull Husna Nazaruddin, 21, berasa amat bersyukur dengan bantuan yang diberikan. Sebelum ini, beliau terpaksa terpaksa meminjam komputer rakan-rakan demi melaksanakan tugasan universiti.

“Alhamdulillah dengan adanya komputer riba ini akan menjadi pemangkin untuk saya lebih cemerlang dalam pelajaran pada masa hadapan. Terima kasih kepada LZS serta pembayar zakat yang membantu saya di sini.”

Turut hadir pada majlis berkenaan, Presiden merangkap Naib Canselor Unisel, Prof. Dr. Anuar Ahmad dan Timbalan Pengurus Besar Agihan, Abdul Basith Hamid.