188 ANAK ASNAF CEMERLANG TERIMA ANUGERAH



SHAH ALAM, 7 Mei 2011 – Seramai 188 orang anak-anak penerima bantuan zakat yang cemerlang dalam peperiksaan utama tahun lepas, telah diraikan dalam Majlis Anugerah Anak Asnaf Cemerlang 2010 anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) di sebuah hotel di sini hari ini.

Mereka merupakan antara 909 orang pelajar yang telah berjaya memperolehi minima 1A bagi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Daripada jumlah tersebut, seramai 17 orang pelajar memperolehi keputusan 5A dan Mumtaz sekaligus, 58 orang memperoleh 5A bagi UPSR, 32 orang mendapat Mumtaz dalam PSRA dan 17 orang mendapat 9A bagi PMR. Kesemua pelajar yang berjaya menerima penghargaan berupa plak, sijil dan wang tunai.

Selain ibu bapa mereka, pelajar-pelajar ini turut menerima bantuan zakat seperti yuran, pakaian serta pelbagai kursus dan kem motivasi. LZS melalui strategi membangun pendidikan anak-anak penerima bantuan telah merangka dan melaksana pelbagai bentuk program dan bantuan kewangan bagi memastikan mereka tidak mewarisi kemiskinan ibu bapa. Pada tahun 2010, LZS telah menyalurkan bantuan zakat khusus untuk tujuan pendidikan berjumlah RM92.96 juta termasuk mereka yang sedang belajar di universiti tempatan dan luar negara.

Majlis Anugerah Anak Asnaf ini dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Marzuki Hussin yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS. Ia turut dihadiri Mohamed Izam Mohamed Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif LZS.