1,794 KELUARGA ASNAF FAKIR DAN MISKIN KUALA LANGAT TERIMA BANTUAN PENDIDIKAN



BANTING, 30 November 2016 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan agihan zakat sebanyak RM600,525 kepada 1,794 keluarga asnaf fakir dan miskin di daerah Kuala Langat bagi bantuan pendidikan sesi persekolahan tahun 2017.

Jumlah berkenaan merangkumi agihan sebanyak RM220,225 kepada 628 keluarga asnaf fakir dan RM380,300 kepada 1,166 keluarga asnaf miskin di dalam daerah ini. Ia bertujuan meringankan beban kewangan keluarga asnaf bagi pesediaan kelengkapan serta yuran persekolahan anak-anak mereka bagi tahun 2017.

Agihan tahunan ini melibatkan bantuan yuran kepada anak-anak asnaf fakir dan miskin sebanyak  RM75 seorang di peringkat prasekolah sehingga ke peringkat menengah. Bantuan disalurkan sama ada secara tunai atau dikreditkan ke dalam akaun ketua keluarga.

Di samping itu bagi bantuan kelengkapan persekolahan, setiap anak asnaf fakir dan miskin di peringkat prasekolah menerima sebanyak RM75, manakala RM170 seorang untuk pelajar sekolah rendah kebangsaan, RM150 seorang untuk pelajar sekolah rendah agama, serta RM200 seorang bagi pelajar sekolah menengah kebangsaan.

Kesemua kelengkapan persekolahan ini boleh diperolehi di Pasaraya Sakan, Mydin dan Jakel yang terpilih di sekitar Selangor dengan mengemukakan MyKad ketua keluarga sebagai rujukan.

Dalam majlis yang sama, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di bawah Tanggungjawab Sosial Korporat menyerahkan wang zakat bagi bantuan pendidikan sebanyak RM833,375  kepada asnaf fakir dan miskin dalam daerah ini.

Bantuan yang disalurkan adalah agihan semula wang zakat daripada sebahagian zakat perniagaan yang ditunaikan PKNS pada tahun ini untuk dimanfaatkan kepada asnaf fakir dan miskin di Selangor.

Majlis ini telah disempurnakan oleh Orang Besar Kuala Langat, Tengku Mohamed Tengku Harun. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali dan Timbalan Pengurus Besar Perhubungan Korporat PKNS, Siti Zubaidah Abdul Jabar.