15,220 PELAJAR BAKAL TERIMA MANFAAT PROSA 2012



SHAH ALAM, 28 Mac 2012 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan sumbangan zakat berjumlah RM2.5 juta kepada 164 buah sekolah di seluruh Selangor melalui Program Sekolah Angkat 2012 (PROSA). Program ini bakal memberi manfaat kepada 15,220 pelajar yang terdiri daripada anak asnaf fakir dan miskin.

Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd. Isa kepada Penolong Ketua Pengarah, Jabatan Pelajaran Selangor (JPS),Tuan Hj. Jaafar Rajuli. Setiap sekolah yang terlibat juga bakal menerima peruntukan di antara RM10,000 hingga RM25,000.

PROSA 2012 adalah kesinambungan dari program yang telah dimulakan sejak tahun 2009. Ia adalah program bersama di antara LZS dan JPS dengan memfokuskan kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama, iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Di antara aktiviti yang dijalankan ialah, kelas tambahan, kursus motivasi, kursus teknik menjawab dan kem sahsiah diri dan dijangka bermula bulan April ini.

Menurut Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Serendah, Hulu Selangor, Faizah Asri, program PROSA 2012 yang dianjurkan oleh LZS adalah salah satu usaha yang sangat baik dalam membantu pelajar asnaf fakir miskin mencapai kecemerlangan akademik, sekali gus menjamin masa depan mereka dan mengubah nasib keluarga untuk keluar daripada belenggu kemiskinan.

“Pihak kami sendiri telah menerima bantuan ini semenjak 2009. Majoriti pelajar asnaf memberikan komitmen sepenuhnya dalam mengikuti program yang telah dijalankan oleh pihak sekolah,” katanya.

Pada tahun 2011, sebanyak 146 buah sekolah telah terlibat iaitu 80 buah sekolah rendah dan 66 buah sekolah menengah. Bilangan pelajar yang terlibat pula ialah seramai 14,429 orang dengan kos keseluruhan RM2,040,000.00.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dato’ Dr. Mohd Shahari Ahmad Jabar dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.