15 USAHAWAN ASNAF ZAKAT SELANGOR TERIMA SUMBANGAN TABUNG HAJI



SHAH ALAM, 14 Julai 2017 – Seramai 15 orang usahawan asnaf Lembaga Zakat Selangor terdiri daripada asnaf fakir dan miskin menerima sumbangan bantuan modal perniagaan berjumlah RM126,324.00 dalam satu majlis yang diadakan di Bait Al Mawaddah di sini hari ini.
Bantuan modal berkenaan merupakan sumbangan dari Lembaga Tabung Haji (TH) kepada usahawan asnaf dalam pelbagai industri yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Dato’ Badlisyah Abdul Ghani.
Selain bantuan asasi yang disalurkan Zakat Selangor, sumbangan TH ini bertujuan memberi suntikan modal bagi membolehkan usahawan asnaf memulakan atau membesarkan perniagaan berdasarkan kemahiran yang ada.
Untuk makluman, sumbangan TH ini merupakan manfaat yang disalurkan melalui inisiatif program Kasihku Zakat Selangor.
Kasihku Zakat Selangor diperkenalkan bagi memberi ruang kepada pengeluar zakat terutama dalam kalangan syarikat korporat bersama-sama menyantuni keperluan penerima zakat di Selangor yang semakin meningkat.
Malah ia turut menjadi platform kepada syarikat korporat untuk menyalurkan sumbangan melalui peruntukan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Hussin Mohd Ali, Ketua Divisyen Kutipan, Mohd Sabirin Sarbini, Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Abdul Basith Hamid dan Ketua Divisyen Komunikasi Korporat, Norajun Ainun Mohd Hashim.