15 BUAH SYARIKAT TUNAI ZAKAT PERNIAGAAN HAMPIR RM500 RIBU



SHAH ALAM, 23 April 2012 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah menerima zakat perniagaan daripada 15 buah syarikat berjumlah RM448,348.47 baru-baru ini.

Di antara syarikat yang menunaikan zakat berkenaan ialah, Seriemas Development Sdn Bhd berjumlah RM219,884.00; Koperasi AIM Berhad (RM96,425.00) dan Purnama Marine Services Sdn Bhd berjumlah RM26,569.75.

Dalam majlis yang sama, LZS turut menyumbangkan bantuan zakat kepada lima penerima. Mereka ialah, Mohd. Kamaruzaman Elias dan Ramlan Mohamad yang masing-masing menerima bantuan modal perniagaan berjumlah RM18 ribu dan RM30 ribu, bagi menjalankan perniagaan roti, pizza dan pastri.

Manakala dua orang pesakit buah pinggang pula, Roslina Jaafar dan Ibrahim Kuntom telah menerima bantuan untuk kos rawatan dialisis berjumlah RM28,320 setiap seorang. LZS turut membantu Ibrahim Ismail bagi menjelaskan baki pembayaran rumahnya berjumlah RM27,863.80.

Tahun lalu, LZS telah berjaya mengutip zakat perniagaan sebanyak RM79.9 juta dan dijangka akan berlaku kenaikan sebanyak 20 peratus kepada RM87.6 juta pada tahun ini. Zakat perniagaan merupakan sumbangan kedua tertinggi selepas zakat pendapatan di Selangor.

Tetamu yang hadir dalam majlis berkenaan ialah, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof; Pengurus Besar Kutipan LZS, Sahadan Ishak, Timbalan Pengurus Besar Agihan LZS, Adibah Abdul Wahab dan para wakil pembayar.