14,877 KAKITANGAN PDRM SELANGOR LAYAK DITAKSIR



 

SHAH ALAM, 30 Ogos 2016 – Seramai 14,877 kakitangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor layak menyertai Skim Bayaran Zakat Melalui Potongan Gaji yang dikenali sebagai Skim Berkat, hasil daripada taksiran semula zakat yang dilaksanakan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Majlils perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Polis Selangor, Dato’ Abdul Samah Mat di hadapan 130 kakitangan PDRM Selangor terdiri daripada ketua-ketua jabatan ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor, Ketua-Ketua Polis Daerah dan wakil dari unit gaji PDRM di sini hari ini.

Daripada jumlah kakitangan PDRM Selangor yang telah ditaksir, seramai 5,500 orang telah menyertai skim ini dengan jumlah potongan zakat bulanan sebanyak RM190,000 sebulan. Kali terakhir taksiran dibuat adalah pada tahun 2013.

Melalui taksiran yang dilaksanakan pada kali ini, LZS mensasarkan peningkatan kutipan zakat melalui potongan gaji  secara bulanan sebanyak 30 peratus bersamaan RM250,000 sebulan.

Serentak dengan itu, LZS turut melancarkan Kempen Tambah Caruman Zakat  bagi menggalakkan pencarum zakat sedia ada menyemak semula jumlah potongan zakat bulanan agar bertepatan dengan jumlah sebenar yang wajib dikeluarkan.

Kempen ini menyasarkan individu yang telah menunaikan zakat melalui potongan gaji dengan jumlah yang sama walaupun telah melebihi tiga tahun. Ia akan dilaksanakan selama empat bulan bermula September sehingga Disember 2016.

Pencarum yang ingin menambah caruman potongan zakat bulanan boleh berbuat demikian dengan mengunjungi 28 cawangan LZS di seluruh Selangor atau mengisi borang kebenaran secara atas talian di http://www.zakatselangor.com.my/espg-online.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali, Timbalan Ketua Polis Selangor, Dato’ Mohd Fuad Abdul Latif dan Ketua Divisyen Kutipan LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

DSC_8635