139 PELAJAR IKUTI KURSUS BINA INSAN



Bangi – Seramai 139 pelajar yang mendapat tajaan dermasiswa dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS terpilih untuk mengikuti Kursus Bina Insan Pelajar-Pelajar Dermasiswa LZS (MAIS)/KUIS dengan kerjasama Institut Perkembangan Minda Selangor (INMIND) yang telah diadakan di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) baru-baru ini.

Menurut Ketua Unit Pembangunan Pendidikan LZS (MAIS), Nasri Che On, kursus tiga hari dua malam ini merupakan prasyarat yang perlu dipenuhi oleh penerima dermasiswa zakat Selangor.

“Ia bertujuan untuk membina semangat baru kepada para pelajar di samping meniup rasa jati diri terutamanya dalam menempuh era Selangor Maju yang penuh mencabar.”

Sepanjang kursus ini berlangsung, para pelajar bukan sahaja didedahkan dengan peranan dan tanggungjawab sebagai mahasiswa tetapi juga keyakinan terhadap potensi yang ada dalam diri dan bagaimana untuk menggilap potensi tersebut agar dapat menjadi seorang yang cemerlang.