112 ASNAF DAN ANAK YATIM DIRAIKAN



KUALA SELANGOR, 5 Ogos 2013 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Maybank2u dan Masjid Nurul Huda meraikan 112 orang penerima terdiri daripada asnaf fakir dan miskin serta anak yatim di program Iftar Ramadan di Masjid Nurul Huda, Parit Mahang dekat sini.

Kerjasama antara LZS dengan Maybank2u yang bersifat serampang dua mata ini, bertujuan membantu golongan asnaf fakir dan miskin serta anak yatim, selain menjadi platform kepada LZS dan syarikat korporat mendekati dan mengeratkan lagi silaturrahim dengan asnaf setempat.

Seramai 72 orang keluarga asnaf fakir dan miskin menerima sumbangan dari LZS berupa hamper dan beras, di samping peralatan ibadah dan biskut raya dari Maybank2u. Sementara 40 orang anak yatim masing-masing menerima sumbangan berupa hamper dari LZS dan peralatan ibadah serta biskut raya dari Maybank2u.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof dan Ketua Perbankan Maya dan Pembayaran Maybank Mohd Suhail Amar Suresh Amar Abdullah.