TITAH UCAPAN DYMM SULTAN SEMPENA PERASMIAN BANGUNAN



TITAH UCAPAN
DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SELANGOR
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN IBU PEJABAT
LEMBAGA ZAKAT SELANGOR PADA
HARI KHAMIS, 10 MAC 2011 BERSAMAAN
5 RABIUL AKHIR 1432 HIJRAH

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillah, Beta bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnia-Nya Beta dapat bersama-sama dengan para hadirin sekalian di Majlis Perasmian Bangunan Ibu Pejabat baru Lembaga Zakat Selangor di pagi yang mulia ini.

Terlebih dahulu Beta ingin mengajak seluruh rakyat di Negeri Selangor ini untuk bersama-sama mengucapkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana menjadikan Negeri Selangor sebagai sebuah negeri yang aman dan makmur, rakyatnya hidup rukun dan damai. Maka, sebagai hamba dan juga khalifah Allah Subhanahu Wata’ala, kita hendaklah berusaha mempertahankan kesejahteraan negeri Selangor ini daripada sebarang anasir yang boleh merosakkan keadaan yang baik ini.

Beta selaku Ketua Agama Islam di negeri ini, amat mengambil berat segala keperluan rakyat Beta dalam urusan keagamaan. Atas dasar itulah, semua institusi Islam seperti Majlis Agama Islam Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor, Jabatan Mufti Selangor, Lembaga Zakat Selangor, Lembaga Wakaf Selangor dan beberapa lagi entiti Islam di negeri ini perlu memainkan peranan secara kolektif dan pro-aktif agar dapat menzahirkan keindahan syiar Islam di Negeri Selangor yang kita kasihi ini.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) adalah entiti khusus di bawah Majlis Agama Islam Selangor yang dilantik bagi menjalankan semua urusan berkaitan zakat di negeri ini. Sehubungan itu, umat Islam di negeri ini hendaklah memanfaatkan kewujudan Lembaga Zakat Selangor sepenuhnya, khususnya dalam menunaikan kewajipan berzakat.

Beta mahu, agar semua umat Islam yang menetap atau bekerja di negeri Selangor ini, hendaklah menunaikan zakat di Lembaga zakat Selangor. Hal ini adalah sejajar dengan ajaran Islam, bahawa zakat itu hendaklah ditunaikan di tempat di mana seseorang itu memperolehi hartanya atau pendapatannya.

Di samping itu, Beta juga sedar bahawa Selangor adalah sebuah negeri maju yang menawarkan pelbagai kemudahan dan prasarana perniagaan terbaik kepada semua usahawan. Oleh itu, terdapat ribuan syarikat dan perniagaan yang beroperasi di negeri Selangor ini. Maka, wajarlah bagi para peniaga ini menunaikan zakat perniagaan mereka di negeri Selangor, agar rezeki yang mereka nikmati dapat dikongsi bersama seluruh rakyat Selangor.

Beta yakin, satu masa nanti Selangor mampu mengatasi jumlah miskin tegar terutama kepada meraka yang beragama Islam dan mengurangkan jumlah orang-orang miskin secara signifikan. Hal ini dapat kita lakukan, seandainya semua orang Islam sedar akan kewajipan zakat yang terpikul di bahu mereka. Bahkan mereka juga sepatutnya sedar, bahawa melalaikan kewajipan berzakat adalah suatu dosa di sisi Islam.

Beta berasa amat sukacita dengan pencapaian kutipan zakat di negeri ini. Dalam jangka masa sepuluh (10) tahun bermula tahun 2000, Lembaga Zakat Selangor telah mengutip zakat secara keseluruhannya sebanyak Ringgit Malaysia Satu Perpuluhan Tujuh Empat (RM1.74) billion dengan purata peningkatan sebanyak 20 peratus setiap tahun. Beta yakin dengan komitmen semua pihak secara positif, maka kutipan zakat di Selangor akan dapat meningkat berkali ganda lagi, insya-Allah.

Begitu juga dengan agihan zakat. Dalam jangka masa sepuluh (10) tahun ini juga, sebanyak Ringgit Malaysia Satu Perpuluhan Lima Tujuh (RM1.57) billion bantuan zakat telah diagihkan kepada rakyat di negeri Selangor ini. Inilah hasil pembayaran zakat yang dilaksanakan oleh rakyat Beta yang banyak memberi manfaat kepada pembangunan syiar Islam di negeri ini.

Selaras dengan kutipan zakat yang semakin bertambah, pihak Lembaga Zakat Selangor perlu merancang dan mencari kaedah yang terbaik supaya agihan zakat dapat diagihkan dengan cepat dan efisien. Beta juga mahu, agar zakat diagih dengan adil dan telus tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik seseorang. Sebaliknya, yang menjadi pertimbangan adalah keadaan diri mereka. Seandainya seseorang itu layak, maka mereka hendaklah dibantu sebagaimana sepatutnya.

Apa yang Beta harapkan, bantuan zakat tersebut hendaklah diagih dengan saksama dan penuh perancangan agar dapat membangunkan taraf hidup dan juga ekonomi golongan fakir dan miskin di negeri Selangor. Beta mahu agar zakat yang diberi itu menjadi sesuatu yang mampu menjamin kehidupan masa hadapan; dan tidak hanya bersifat bantuan sekelip mata sahaja yang akan habis tanpa meninggalkan sebarang kesan.

Jika boleh, Beta mahu Lembaga Zakat Selangor mengkaji sejarah zakat semasa pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Semasa itu zakat telah berperanan dengan berkesan sehingga dapat menghapus kemiskinan. Bahkan sudah terbukti di dalam sejarah Islam, bahawa zakat mampu meningkatkan ekonomi ummah dan memberikan kemuliaan kepada Negara Islam.

Bidang pendidikan misalnya, hendaklah diberikan keutamaan. Ini kerana, pendidikan adalah nadi perubahan. Pendidikan mampu mejana kehidupan yang lebih baik kepada setiap orang, khususnya dalam kalangan orang-orang miskin.

Sebagai sebuah negeri yang maju dan peneraju dalam urusan zakat, maka Beta menggesa agar para amil, pegawai-pegawai di Lembaga Zakat Selangor dan semua wakil yang dilantik oleh Lembaga Zakat Selangor, agar dapat menjalankan tugas dan amanah dengan penuh tanggungjawab, mesra pelanggan dan mengutamakan sikap profesional pada setiap masa dan keadaan. Elakkan bekerja secara sambil lewa, kerana ia boleh menjejaskan mutu perkhidmatan kepada rakyat Beta.

Manakala kepada semua asnaf zakat di negeri ini, Beta mahu agar bantuan zakat yang diperolehi itu hendaklah dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Jangan sekali-kali ia disalah guna seningga mengabaikan keperluan sebenar keluarga. Sikap sedemikian adalah amat bercanggah dengan nilai amanah, kerana zakat yang diberikan itu juga, sebenarnya adalah wang amanah yang mesti digunakan sebagaimana yang sepatutnya.

Dalam pada itu, kita juga mesti sedar bahawa kekayaan yang melimpah ruah di Negeri Selangor ini tidak sepatutnya hanya berlegar-legar di Negeri Selangor sahaja. Atas dasar itulah, Beta amat mengambil berat dan prihatin dengan musibah yang menimpa negeri-negeri lain di Malaysia, misalnya dengan menyalurkan bantuan zakat kepada negeri-negeri yang dilanda banjir baru-baru ini, seperti negeri Kedah, Perlis dan Johor. Beta melihat, ianya adalah salah satu tanggungjawab Majlis Agama Islam Selangor dalam meringankan kesusahan umat Islam. Beta berkenan supaya agihan zakat Selangor diutamakan untuk menolong rakyat miskin di Negeri Selangor dan seterusnya rakyat di negeri-negeri lain di Malaysia yang layak menerimanya.

Sebelum Beta mengakhiri titah ucapan pada pagi yang cukup indah ini, Beta menyeru agar kita semua terus menyokong Lembaga Zakat Selangor di dalam usaha membangunkan zakat di negeri ini. Beta mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua warga Lembaga Zakat Selangor, kerana telah mampu memiliki sebuah premis sendiri, demi kepentingan umat Islam.