KENYATAAN MEDIA: AGIHAN ZAKAT DI SELANGOR PENTINGKAN KESEGERAAN DAN KETELUSAN



SHAH ALAM, 15 Ogos 2011 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) sentiasa memastikan bantuan zakat yang disalurkan adalah segera dan telus bagi memastikan ia (bantuan) sampai kepada golongan sasaran tanpa proses birokrasi yang rumit sehinggakan terdapat bantuan yang diluluskan dalam tempoh dua jam mengikut piagam pelanggan yang ditetapkan.

Bagi bantuan yang diluluskan dalam tempoh dua jam ini ia melibatkan kelulusan permohonan maksimum sehingga RM3,000 iaitu melalui kaunter ekspres yang terletak di ibu pejabat LZS. Antaranya bantuan perubatan, pelbagai bantuan kecemasan, keperluan pendidikan, musafir dan lain-lain lagi.

Selain itu, terdapat juga bantuan yang diluluskan dalam tempoh 24 jam antaranya berbentuk kecemasan asasi seperti bil perubatan, bil-bil utiliti, makanan dan minuman, pengangkutan dan lain-lain yang boleh dimohon di semua cawangan LZS.

Bagi mempercepatkan proses kelulusan bantuan, permohonan juga boleh diluluskan di peringkat cawangan LZS iaitu bagi bantuan bernilai RM3,000 ke bawah yang melibatkan kelulusan bantuan dalam tempoh 14 hari bekerja. Antaranya bantuan makanan bulanan, kewangan bulanan, bantuan umum pelajaran, bantuan penerapan nilai Islam, sewa rumah, sumbangan aktiviti dakwah, bantuan perubatan, yuran persekolahan, keperluan pendidikan dan biasiswa pelajaran.

Bagi LZS, tidak wujud birokrasi dalam pengagihan wang zakat jika dilihat dari aspek kesegeraan kelulusan permohonan bantuan ini. Walaubagaimanapun, setiap permohonan mempunyai syarat-syarat yang ditetapkan, perlu disertakan dengan dokumen sokongan, prosedur dan tempoh tertentu bagi memastikan ketelusan permohonan dan hak zakat itu dapat dipelihara serta mengelakkan sebarang penipuan.

Selain kelulusan bantuan dalam tempoh dua jam, 24 jam dan 14 hari, piagam pelanggan LZS juga menetapkan kelulusan bantuan dalam tempoh maksimum 30 hari iaitu bantuan yang melibatkan kadar yang lebih tinggi iaitu RM3,000 ke atas. Bagi bantuan ini ia ia memerlukan pemantauan dan siasatan yang lebih terperinci. Antaranya bantuan rawatan dialisis, pembinaan baik pulih institusi agama seperti sekolah, surau dan masjid, bantuan hutang perubatan, bantuan bina dan baik pulih rumah.

LZS juga memerlukan kerjasama dari pihak permohon bagi memastikan borang permohonan yang dihantar adalah lengkap agar proses segera boleh dilaksanakan.

Selain itu, bagi memudahkan dan membantu pemohon membuat permohonan, LZS juga menyediakan 24 cawangan zakat di seluruh Selangor dan sebuah kaunter bergerak yang kondusif dan selesa selain menyediakan borang permohonan di portal LZS yang boleh dimuat turun oleh pemohon pada bila-bila masa.

LZS juga menggunakan pelbagai medium dan mendapatkan kerjasama pelbagai pihak bagi mengenalpasti mereka yang memerlukan bantuan. Antaranya mengadakan bancian setiap tiga tahun sekali, menggunakan garis penentuan fakir miskin iaitu had al-kifayah, mendapatkan kerjasama pihak yang hampir dan mengenali penduduk iaitu dari penghulu mukim, ketua kampung, pengerusi jawatankuasa penduduk, jawatan kuasa kampung dan masjid, mendapatkan maklumat dari pihak sekolah, mendapatkan maklumat daripada NGO, orang persendirian, media dan sebagainya dan membuat siasatan sendiri ke rumah pemohon.

Selain itu, LZS juga mendapat kerjasama daripada lebih 1,500 orang penolong amil Kariah yang terdiri daripada jawatankuasa masjid dan surau untuk menyampaikan maklumat mereka yang berada di dalam kesusahan dan menyediakan perkhidmatan talian khidmat pelanggan 03-5522 7777 untuk masyarakat menyampaikan maklumat berkaitan kemiskinan dan pertanyaan berkaitan permohonan yang dipohon. Dengan perlaksanaan pelbagai mekanisma ini hasilnya sepanjang Januari-Jun tahun ini LZS berjaya menyelesaikan 36,512 permohonan zakat mengikut piagam pelanggan yang ditetapkan.

MOHAMED IZAM MOHAMED YUSOF
KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF
LEMBAGA ZAKAT SELANGOR (MAIS)