KENYATAAN AKHBAR Y.A.D DATO’ SETIA HJ MOHAMAD ADZIB B. MOHD ISA PENGERUSI MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR BERKENAAN HAL EHWAL ZAKAT NEGERI SELANGOR DI BILIK MESYUARAT UMAR ABDUL AZIZ, TINGKAT 2, BLOK 3, BANGUNAN ZAKAT SELANGOR PADA SELASA/2 JULAI



ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH

TERIMA KASIH KEPADA WAKIL-WAKIL MEDIA YANG HADIR PADA HARI INI. TERLEBIH DAHULU INGIN SAYA MENGAMBIL KESEMPATAN INI UNTUK MENGUCAPKAN SELAMAT MENYAMBUT RAMADAN AL MUBARAK YANG AKAN TIBA TIDAK LAMA LAGI, INSYA-ALLAH.

SEHUBUNGAN ITU JUGA, SAYA INGIN MEMAKLUMKAN BEBERAPA PERKARA PENTING BERKAITAN BULAN RAMADAN INI UNTUK DIJADIKAN PANDUAN KEPADA SELURUH UMAT ISLAM DI NEGERI SELANGOR, IAITU:

1. KADAR ZAKAT FITRAH

UNTUK MAKLUMAN, DYMM SULTAN SELANGOR TELAH BERKENAN IAITU KADAR ZAKAT FITRAH DI NEGERI SELANGOR BAGI RAMADAN TAHUN 2013 BERSAMAAN 1434 HIJRAH DITETAPKAN SEBANYAK RM7.00 SEKEPALA, SAMA SEPERTI TAHUN SEBELUMNYA (2012). DIJANGKAKAN PADA TAHUN INI SEBANYAK RM19 JUTA ZAKAT FITRAH AKAN DIKUTIP DARIPADA KIRA-KIRA 2.7 JUTA UMAT ISLAM DI NEGERI SELANGOR.

SEHUBUNGAN ITU, BAGI MEMUDAHKAN ORANG RAMAI UNTUK MEMBAYAR ZAKAT FITRAH DI SELANGOR, MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR (MAIS) MELALUI LEMBAGA ZAKAT SELANGOR (LZS) TELAH MELANTIK SERAMAI 2,600 ORANG KETUA DAN PENOLONG AMIL FITRAH DI SELURUH SELANGOR. ORANG RAMAI, DINASIHATKAN AGAR MEMBAYAR ZAKAT FITRAH HANYA KEPADA AMIL DILANTIK OLEH LEMBAGA ZAKAT SELANGOR YANG DIBEKALKAN DENGAN KAD TAULIAH.

BEBERAPA KAUNTER SEMENTARA BAGI ZAKAT HARTA DAN FITRAH JUGA AKAN DIBUKA DI PREMIS-PREMIS SYARIKAT, PEJABAT-PEJABAT KERAJAAN DAN KORPORAT SERTA PASAR RAYA DAN HOTEL TERPILIH.

2. KEMUDAHAN PEMBAYARAN ZAKAT DI BULAN RAMADAN

SEPANJANG BULAN RAMADAN INI, LZS AKAN MEMBUKA 24 KAUNTER ZAKAT DI SELURUH SELANGOR SELAMA TUJUH HARI SEMINGGU TERMASUK PADA CUTI UMUM. WAKTU URUSAN KAUNTER PADA HARI BEKERJA BERMULA DARI PUKUL 8.30 PAGI HINGGA 4.30 PETANG.
MANAKALA PADA HARI SABTU, AHAD DAN CUTI UMUM KAUNTER AKAN DIBUKA BERMULA PUKUL 9.00 PAGI SEHINGGA 3.00 PETANG. INI BAGI MEMUDAHKAN ORANG RAMAI MENUNAIKAN ZAKAT HARTA DAN ZAKAT FITRAH, WALAUPUN PADA HARI CUTI.

3. AGIHAN RAMADAN DAN HARI RAYA UNTUK GOLONGAN FAKIR DAN MISKIN

SEPERTI TAHUN-TAHUN YANG LALU, MAIS MELALUI LZS TELAH MEMPERUNTUKKAN SEBAHAGIAN DANA ZAKAT UNTUK DIAGIHKAN KEPADA GOLONGAN FAKIR DAN MISKIN DI SELANGOR MENJELANG RAMADAN DAN HARI RAYA.

AGIHAN UNTUK PERSIAPAN RAMADAN DAN HARI RAYA TELAH BERMULA PADA 18 JUN YANG LALU SEHINGGA 9 JULAI INI MELIBATKAN 46 PROGRAM AGIHAN DI SELURUH SELANGOR.

PENGAGIHAN BANTUAN INI DILAKSANAKAN LEBIH AWAL BAGI MEMBOLEHKAN PENERIMA ZAKAT MEMBUAT PERSIAPAN RAMADAN DENGAN LEBIH SEMPURNA, DI SAMPING DAPAT MENUMPUKAN PERHATIAN KEPADA MELAKSANAKAN IBADAH DI BULAN RAMADAN.

PADA TAHUN INI, SEBANYAK RM15,930,600 (JUTA) TELAH DIPERUNTUKKAN UNTUK DIAGIHKAN KEPADA 21,523 KELUARGA FAKIR DAN MISKIN DI SELANGOR MELIBATKAN 7,181 KELUARGA FAKIR DAN 14,342 KELUARGA MISKIN. WALAU BAGAIMANAPUN, JUMLAH KELUARGA DIJANGKA AKAN BERTAMBAH, KERANA BANTUAN ZAKAT AKAN DITERUSKAN SEHINGGA SEMINGGU SEBELUM MENJELANG SYAWAL.

DARIPADA JUMLAH TERSEBUT, SEBANYAK RM10,450,450 (JUTA) DIAGIHKAN KEPADA GOLONGAN MISKIN, MANAKALA RM5,480,150 (JUTA) PULA DIAGIHKAN KEPADA GOLONGAN FAKIR.

DAERAH HULU LANGAT MENCATATKAN BILANGAN PALING RAMAI MENERIMA BANTUAN IAITU KIRA-KIRA 3,458 KELUARGA DENGAN NILAI BANTUAN SEBANYAK RM2,571,450 (JUTA). INI DIIKUTI DAERAH PETALING SERAMAI 3,427 KELUARGA (RM2,591,300), SABAK BERNAM SERAMAI 3,225 KELUARGA (RM2,271,250), KUALA SELANGOR SERAMAI 2,993 KELUARGA (RM2,160,200), HULU SELANGOR SERAMAI 2,192 KELUARGA (RM1,639,550), KLANG SERAMAI 2,125 KELUARGA (RM1,616,700), KUALA LANGAT SERAMAI 1,736 KELUARGA (RM1,305,250), GOMBAK SERAMAI 1,607 KELUARGA (RM1,214,650) DAN SEPANG SERAMAI 760 KELUARGA (RM560,250).

4. BENTUK AGIHAN

BANTUAN YANG DIBERIKAN INI ADALAH BERUPA WANG TUNAI DENGAN MASING-MASING MENERIMA DI ANTARA RM600 SEHINGGA RM1,000 BAGI SATU KELUARGA ASNAF FAKIR MENGIKUT TANGGUNGAN.

MANAKALA, BAGI ASNAF MISKIN PULA MENERIMA WANG TUNAI ANTARA RM550 SEHINGGA RM1,000 BAGI SATU KELUARGA MENGIKUT TANGGUNGAN.

SELAIN DARIPADA ITU, SETIAP KETUA KELUARGA ASNAF FAKIR DAN MISKIN TURUT MENERIMA SUMBANGAN PERALATAN IBADAH BERUPA SEJADAH, TELEKUNG, KAIN PELEKAT BESERTA TAFSIR AL-QURAN. SUMBANGAN INI BAGI MEMENUHI KEPERLUAN ASNAF UNTUK TUJUAN IBADAH HARIAN.

5. PENYAMPAIAN SUMBANGAN HARI RAYA OLEH DYMM SULTAN SELANGOR KEPADA FAKIR, MISKIN, SAUDARA KITA DAN ANAK YATIM

BERSEMPENA BULAN RAMADAN YANG MULIA INI, DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SELANGOR TELAH BERKENAN MENCEMAR DULI UNTUK BERBUKA PUASA BERSAMA-SAMA RAKYAT SERTA MENYAMPAIKAN SUMBANGAN HARI RAYA KEPADA GOLONGAN FAKIR, MISKIN, SAUDARA KITA (MUALAF) SERTA ANAK-ANAK YATIM. BAGINDA AKAN BERANGKAT HADIR KE 14 BUAH MASJID DI SELURUH SELANGOR BAGI BERBUKA PUASA SERTA MENUNAIKAN SOLAT SUNAT TARAWIKH BERSAMA-SAMA RAKYAT JELATA.

SERAMAI 7,700 ORANG TERDIRI DARIPADA ASNAF FAKIR, MISKIN, SAUDARA KITA DAN ANAK YATIM AKAN MENERIMA SUMBANGAN HARI RAYA DARIPADA DYMM SULTAN SELANGOR DENGAN JUMLAH KESELURUHAN RM2.45 JUTA.

6. PRESTASI KUTIPAN DAN AGIHAN ZAKAT BAGI LIMA BULAN PERTAMA TAHUN 2013

SUKACITA JUGA DIMAKLUMKAN BAHAWA, SEPANJANG LIMA BULAN PERTAMA TAHUN INI (2013), LZS TELAH MENGUTIP ZAKAT HARTA SEBANYAK RM143.1 JUTA BERBANDING TEMPOH YANG SAMA TAHUN SEBELUMNYA (2012) IAITU RM125.8 JUTA DENGAN JUMLAH PENINGKATAN SEBANYAK RM17.4 JUTA ATAU 14 PERATUS LEBIH TINGGI.

BEGITU JUGA DENGAN BILANGAN PEMBAYAR ZAKAT YANG MENINGKAT SEBANYAK 22 PERATUS ATAU 30,745 ORANG DARIPADA 141,763 ORANG PADA JANUARI HINGGA MEI 2012 KEPADA 172,508 ORANG DALAM TEMPOH YANG SAMA TAHUN 2013.

MANAKALA BAGI AGIHAN ZAKAT PULA, LZS TELAH MENGAGIHKAN BANTUAN ZAKAT BERJUMLAH RM174.2 JUTA KEPADA ASNAF ZAKAT SEPANJANG LIMA BULAN PERTAMA TAHUN INI (2013) BERBANDING RM136.4 JUTA DALAM TEMPOH YANG SAMA TAHUN LEPAS (2012), YAKNI PENINGKATAN SEBANYAK 28 PERATUS.

AKHIR KATA, SAYA JUGA INGIN MENGAMBIL KESEMPATAN INI MENYERU KEPADA UMAT ISLAM SUPAYA MENGAMBIL PELUANG DI BULAN RAMADAN INI UNTUK MENINGKATKAN AMALAN TERUTAMANYA DALAM SEKIAN. TERIMA KASIH.