Zakat Takaful

Zakat Takaful

Produk takaful merupakan salah satu bentuk simpanan / pelaburan yang mempunyai unsur harta zakawi dan tertakluk kepada kewajiban zakat jika ia telah memenuhi syarat-syaratnya.

Dalil Al Quran

وَالَّذِينَ يَكْنِزُونَ الذَّهَبَ وَالْفِضَّةَ وَلاَ يُنفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَبَشِّرْهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ

Firman Allah s.w.t:
“Dan (ingatlah)orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya”
(Surah al-Taubah ayat 34)



Implikasi Zakat Ke Atas Produk Takaful

Zakat Wang Simpanan / Pelaburan Takaful:

  • Zakat Wang Simpanan / Pelaburan Takaful:
    • Pemegang takaful keluarga perlu membayar zakat setiap tahun ke atas nilai simpanan / pelaburan yang boleh dikeluarkan (cash value) sahaja dan bukannya surrender value (jumlah wang yang akan diperolehi jika membatalkan polisi).
    • Ini kerana, hukum zakat untuk simpanan / pelaburan dalam polisi takaful adalah sama hukum zakat untuk simpanan / wang di institusi kewangan. Ini adalah kerana cash value boleh dikeluarkan tanpa perlu menunggu tempoh tamat kontrak dengan pihak takaful.

Kaedah Taksiran

[ Jumlah simpanan /pelaburan – nilai simpanan /pelaburan minimum perlu perlu ada dalam polisi ] = Cash value polisi takaful

Formula Asas:
Zakat = Cash value polisi takaful x 2.5%

Kaedah Taksiran Zakat Gabungan Nisab Emas :
Zakat = [Cash value polisi takaful + wang / simpanan di institusi kewangan + wang diluar institusi kewangan] x 2.5%

Zakat Ke Atas Polisi Takaful Yang Matang

  • Manakala selepas sijil takaful sudah matang, maka wajib zakat simpanan ke atas pemegang polisi yang mendapat pulangan tunai secara keseluruhannya iaitu pulangan wang tunai daripada Dana Risiko Peserta dan juga keuntungan pelaburan daripada Dana Pelaburan Peserta.

    Zakat = Maturity value (nilai matang) polisi takaful x 2.5%

    Kaedah Taksiran Zakat Gabungan Nisab Emas :
    Zakat = [Maturity value (nilai matang) polisi takaful + wang / simpanan di institusi kewangan + wang diluar institusi kewangan] x 2.5%

    Pampasan Takaful

    • Wajib Zakat Pendapatan ke atas waris simati. Ianya adalah selepas ditolak untuk penyelesaian hutang simati (hutang zakat/hutang sesama manusia dan lain – lain) dan upah haji sekiranya simati belum mengerjakan fardhu haji.

      Wang Pulangan Tunai Dana Tabarruk

      • Wajib zakat pendapatan ke atas pemegang polisi takaful sekiranya mereka memperolehi wang pulangan tunai dari Dana Tabarruk; contohnya pulangan tunai setiap tahun jika tiada sebarang tuntutan tahunan (contohnya NCD yang diperolehi kerana tiada tuntutan tahunan).

        Manfaat keilatan kekal dan menyeluruh

        • Wajib zakat pendapatan ke atas pemegang polisi yang menerima manfaat keilatan kekal dan menyeluruh akibat kemalangan atau sebab penyakit tertentu.

          Pampasan Polisi Insurans Konvensional

          • Pampasan polisi insurans konvensional yang diterima oleh ahli waris tidak perlu dizakatkan kerana ia dikira sebagai harta yang tidak patuh syariah.
            • Hanya bayaran pokok pembeli polisi insurans konvensional(semasa hayat pembeli/pemegang polisi) sahaja yang dikenakan zakat.
            • Namun sekiranya ahli waris pembeli polisi tersebut merupakan golongan fakir miskin, mereka boleh mengambil sebahagian wang pampasan polisi insurans tersebut dengan jumlah sekadar keperluan sebagai fakir miskin yang ingin mencukupkan keperluan, dan jika jumlah yang diambil melebihi nisab zakat, maka wajib zakat pendapatan ke atas ahli waris.
            • Jika pampasan polisi Insurans konvensional tersebut diterima daripada caruman yang dibuat oleh majikan maka ahli waris boleh menggunakan wang tersebut keseluruhannya dan diwajibkan zakat pendapatan ke atasnya.

          * Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-94 yang bersidang pada 20 -22 April 2011 telah membincangkan Status Pampasan Polisi Insurans Konvensional Selepas Kematian Pembeli Polisi.