Syarat Umum Wajib Zakat

Syarat Umum Wajib Zakat

Setiap individu yang ingin membayar zakat harus di ambil kira syarat wajib zakat yang perlu difahami dan dipenuhi sebelum membuat taksiran. Syarat-syarat tersebut ialah:

Islam

Zakat difardhukan ke atas pemilik harta yang beragama Islam sahaja. Orang kafir tidak difardhukan menunai zakat, bahkan zakat mereka tidak sah jika ditunaikan kerana zakat mempunyai ciri-ciri ibadat.

Merdeka

Syarat ini tetap dikekalkan sebagai salah satu syarat wajib.

Sempurna Milik

Milik sempurna bermaksud “Pemilikan seseorang terhadap harta secara sah sepanjang haul dan mempunyai kuasa secara bebas ( إخْتِيَارُ )  untuk mengurus ( حَقُّ التَصَرُّفِ ) dan memperolehi manfaat dari harta tersebut tanpa sekatan / kawalan undang-undang dan peraturan.”

Harta Usaha Yang Baik Sebagai Sumber Zakat

Para Fuqaha’ merangkumi semua pendapatan dan penggajian sebagai “Mal Mustafad” iaitu perolehan baru yang termasuk dalam taksiran sumber harta yang dikenakan zakat.

Cukup Nisab

Nisab ialah kadar minimum pemilikan sesuatu harta yang mewajibkan zakat ke atas harta itu.
Dalil syarat nisab emas, buah-buahan dan unta seperti yang dijelaskan Hadith berikut:

Daripada Abu Sa’id R.A:

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : لَيْسَ فِيمَا دُونَ خَمْسةِ أَوْسُقٍ مِنَ التَّمْرِ صَدَقَةٌ، وَلَيْسَ فِيمَا دُونَ

خَمْسِ أَوَاقٍ مِنَ الْوَرِقِ صَدَقَةٌ ، وَلَيْسَ فِيمَا دُونَ  خَمْسِ ذَوْدٍ مِنَ الإِبِلِ صَدَقَة

(رواه البخاري و مسلم)

Rasulullah SAW bersabda: “Tamar yang kurang dari 5 awsuq tidak diwajibkan zakat, perak yang kurang dari 5 auqiyah tidak diwajibkan zakat, dan unta yang kurang dari 5 ekor tidak diwajibkan zakat.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Nisab menjadi prasyarat kewajipan zakat supaya dapat dipastikan bahawa kefardhuan zakat hanya diwajibkan ke atas orang Islam yang memiliki kekayaan.

Sabda Nabi SAW :

لاَ صَدَقَةَ إِلاَّ عَنْ ظَهْرِ غِنَى

(رواه البخارى)

“Sesungguhnya zakat (diwajibkan) hanya kepada orang yang kaya”.
(Riwayat Bukhari).

Nisab sesuatu harta adalah berbeza-beza berdasarkan jenis-jenis harta zakat. Nilai jumlah minimum nisab zakat telah ditetapkan dengan hadith.

Penerangan :

Segala jenis harta yang mempunyai ‘illah yang sama dengan emas akan dicampurkan kesemuanya bagi tujuan kiraan zakat, seperti jumlah simpanan Tabung Haji, wang simpanan di bank-bank, jongkong/dinar emas dan lain-lain lagi digabungkan untuk mencukupkan nisab 20 mithqal.

Cukup Haul

Haul ialah tempoh setahun (12 bulan) qomariah pemilikan kekal harta zakat oleh seseorang selain dari harta zakat biji-bijian, buah-buahan, galian dan harta karun. Syarat haul ditetapkan dengan hadith.

Sabda Nabi SAW:

لاَزَكَاةَ فِي مَالٍ حَتَّى يَحُوْلَ عَلَيْهِ الحَوْلُ

(رواه ابن عمر)

“Tidak diwajibkan zakat atas sesuatu kekayaan sehingga berlalu masa setahun.”

Harta Yang Berkembang

Harta yang berkembang adalah harta pemilikan yang boleh berkembang secara hakiki (حَقِيْقِي) atau boleh diusahakan ( تَقْدِيْرِي ). Bentuk harta zakat yang berkembang secara hakiki (حَقِيْقِي) adalah:

i. Binatang ternakan berkaki empat seperti lembu, kerbau, kambing, rusa dan seumpamanya.
ii. Hasil tanaman yang menjadi makanan asasi seperti padi, jagung dan seumpamanya.
iii. Barang perniagaan yang berkembang dengan sebab berlaku transaksi urusniaga di pasaran.

Harta zakat yang berkembang dengan sebab boleh diusahakan ( تَقْدِيْرِي ) adalah :

i. Emas, perak, mata wang dan hasil galian seperti minyak, bijih timah, gas asli dan harta karun yang bernilai dan seumpamanya.
ii. Tanaman, ternakan dan lain-lain harta yang diusahakan secara komersial.