Makluman Umum Kutipan

Penambahan Umum Maklumat Zakat

1) Kiraan Kadar Zakat

Asal penentuan haul untuk kiraan zakat ialah berdasarkan kepada tahun hijri. Namun pada hari ini, kalendar yang digunakan diseluruh dunia, termasuk umat Islam secara umumnya adalah kalendar masihi. Oleh itu jika seseorang mengira zakatnya berdasarkan kepada kalendar masihi, maka kadar zakat ialah 2.577% setelah mengambilkira perbezaan hari diantara kalendar masihi dan kalendar hijri.

BilHaulKadar Zakat (%)
1Tahun Qomariah/ Hijri  (354 hari)2.5
2Tahun Shamsiah / Masihi (365 hari)2.577 = 365 hari x 2.5% / 354 hari

Penggunaan kadar berbeza ini turut digunakan oleh Accounting and Auditing Organization of Islamic Financial Institutions (AAOIFI) di dalam Financial Accounting Standard (Perenggan Kedua) untuk zakat (FAS 9).

2) Bagi tujuan penentuan nisab, harta yang same jenisnya hendaklah digabungkan.

Nisab sesuatu harta adalah berbeza-beza berdasarkan jenis-jenis harta zakat. Nilai jumlah minimum nisab zakat telah ditetapkan dengan hadith. Bagi tujuan penentuan nisab yang sama jenisnya hendaklah digabungkan.

Sebagai contoh, harta yang berasaskan enisab emas seperti emas iaitu emas, wang simpanan, pelaburan dan takaful (nilai tunai)

Contoh kedua ialah seorang yang memiliki pelbagai jenis binatang (lembu, kambing, unta) zakatnya berdasarkan nisab setiap jenis binatang. Jika ia memiliki ternakan kambing dari pelbagai jenis contohnya biri-biri, kibash, kambing gurun, boer, jamnapari zakatnya ditaksirkan berasaskan nisab kambing.

Contoh lain adalah, Ahmad memiliki :

  • Seketul emas (gold bar) seberat 50 gram.
  • Dia juga memiliki Simpanan Tetap (FD) sebanyak RM7,000 (bersamaan separuh nisab RM14,000 – dengan andaian nilai 85 gram emas ialah RM 14,000).
  • Oleh itu pada tarikh cukup haul, dia hendaklah mencampurkan FD sejumlah RM7,000 dengan RM8,235 (iaitu nilai 50 gram emas). Maka zakat ialah RM15,235 darab 2.5% bersamaan RM381.

Contoh Penggabungan Zakat Pendapatan :

[ Pendapatan Penggajian + Pengeluaran KWSP (sebelum umur 55 tahun) + Pendapatan Bukan Penggajian + sebarang jenis harta berasaskan nisab emas YANG TIDAK disyaratkan haul ≥ nisab semasa ] x 2.5%

atau

Contoh Penggabungan Harta Lain Berasaskan Emas :

[ Wang Simpanan + Nilai tunai polisi takaful + nilai emas bukan perhiasan (غَيْرُالحُلِّى) + sebarang jenis harta berasaskan nisab emas YANG disyaratkan haul>nisab semasa ] x 2.5%

3) Tolakan harta atau pendapatan haram dan syubhah

Harta yang haram atau syubhah tidak termasuk dalam harta yang wajib zakat.

 “إِنَّ اللهَ طَيِّبٌ لاَ يَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّبًا”

“Sesungguhnya Allah itu thayib (baik), tidak menerima (suatu amal) kecuali yang baik (halal)”
(HR Muslim).
.

Melalui hadis ini dapat difahami bahawa Allah hanya menerima sesuatu amal hambaNya dari sumber yang halal dan baik sahaja.Harta yang diperolehi oleh sumber yang tidak patuh syariah tidak boleh dijadikan harta untuk membayar zakat sebagai contoh :

  • Dividen atau keuntungan daripada sebarang transaksi yang berasaskan riba’.
  • Harta dari hasil pekerjaan yang haram seperti mencuri, jual beli arak, hasil loteri dsb.

Dalam urusniaga berteraskan riba, hasil keuntungan adalah tidak boleh dibersihkan dengan zakat atau sedekah. Bagaimanapun modal asal / nilai pokok dalam urusniaga tersebut, jika bersumberkan daripada harta yang halal, adalah perlu dizakatkan. Ini berdasarkan ayat berikut:

                                ayat

“Kalau kamu tidak melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa”
(Al-Baqarah : 279)

4) Penyelarasan kiraan zakat dua kali

Zakat tidak diambil dua kali daripada harta yang sama dalam satu haul. Implikasinya adalah, hasil pulangan atau dividen yang diterima daripada perniagaan atau pelaburan yang telah membayar zakat perniagaan, maka dipihak pelabur, tidak dizakatkan lagi atas hasil pulangan tersebut untuk mengelakkan zakat dua kali atas harta yang sama.

Rasulullah S.A.W ada menyebut bahawa ;

“لا ثنى في الصدقة”

“Tidak ada gandaan dalam zakat”.

(HR Ibn Abi Syaibah)