ZAKAT MENDEPANI ZAMAN – SUATU PENGALAMAN LZS



Oleh: Hamizul Abdul Hamid
Eksekutif Komunikasi Korporat
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Perubahan zaman menyaksikan pengurusan zakat turut berubah. Ia bukan sahaja mengubah corak kutipan zakat menerusi definisi kekayaan baharu dan pelbagai inovasi bayaran; bahkan turut meliputi perkembangan agihan zakat. Kini, agihan bukan lagi bersifat sekadar memberi untuk keperluan dua tiga hari; tetapi motifnya untuk membebaskan penerima daripada belenggu keadaan.

Di Lembaga Zakat Selangor (LZS), lapan asnaf zakat yang termaktub pada ayat 60 surah at-Taubah dikategorikan kembali kepada lima jenis bantuan. Pengkategorian ini bermaksud untuk memudahkan urusan agihan disalurkan. Asnaf tidak berubah, yang berubah ialah corak pendekatan dalam menyalurkan bantuan.

Lima jenis bantuan itu dinamakan sebagai Program Pembangunan Sosial, Program Pembangunan Ekonomi, Program Pembangunan Pendidikan, Program Pembangunan Insan dan Program Pembangunan Institusi Agama.

Program Pembangunan Sosial adalah mekanisme bagi menjamin kehidupan berkualiti asnaf. Ia meliputi aspek perlindungan atau perumahan, keperluan hidup, kebajikan ummah secara umum dan juga program-program pemantapan ukhuwwah dan kemasyarakatan yang lain.

Misalnya dalam aspek perlindungan, ia memfokuskan kepada penyediaan rumah atau pusat perlindungan kepada asnaf yang memerlukan. Di LZS, asnaf yang memiliki rumah yang uzur akan diperbaiki atau diganti baharu dan ada yang diberikan penempatan di desa asnaf. Terdapat tiga jenis penempatan, iaitu penempatan asnaf fakir dan miskin di Desa Kasih dan Desa Ehsan, manakala penempatan asnaf mualaf pula ialah Desa Iman, Desa Mansuriah dan Baitul Hidayah. Rumah Barokah pula adalah jenis apartmen yang dibeli khas sebagai rumah transit sebelum asnaf ini boleh ditempatkan di rumah yang lain. Penempatan warga emas Baitul Salamah turut disediakan dengan dana fisabilillah.

Aspek perlindungan ini termasuklah juga Pusat Pemulihan Akhlak Baitul Ehsan dan Pemulihan Akidah Baitul Iman. Asnaf riqab didefinisikan semula di sini, iaitu mereka yang terpasung dalam belenggu ajaran sesat atau kerosakan akhlak, lalu mereka dibantu agar kembali ke pangkal jalan dengan dana zakat.

Keperluan hidup asnaf juga diambil kira. Ia meliputi bantuan kewangan dan makanan bulanan, kecemasan dan runcit, pakaian, perubatan dan pengangkutan khususnya kepada asnaf fakir dan miskin. Asnaf mualaf turut disediakan bantuan berkhatan dan perkahwinan.

Manakala bagi kebajikan ummah secara umum, ia meliputi rawatan hemodialisis, bantuan sakit kekal, pengurusan jenazah tanpa waris, kecemasan seperti banjir dan kebakaran, pemusafir, bantuan melunaskan hutang peribadi dan persatuan dan juga bantuan pemulihan akhlak dan akidah. Asnaf fisabilillah, ibn sabil dan gharimin terangkum di sini.

Demi memantapkan perhubungan dan ukhuwwah, LZS turut menyediakan dana bagi tujuan ini, misalnya mengadakan lawatan muhibbah, sambutan hari kebesaran Islam dan hari keluarga, khususnya bagi asnaf mualaf.

Program Pembangunan Ekonomi juga amat penting dalam usaha LZS menangani kemiskinan. LZS percaya, ada asnaf berpotensi yang boleh digilap. Maka, di bawah program ini disediakan bantuan modal perniagaan, sama ada untuk modal pusingan, projek pertanian dan mengembangkan perniagaan. Bagi projek ekonomi berkelompok, LZS menggerakkan asnaf secara berkelompok sehingga tertegaknya beberapa projek ekonomi, misalnya D’ Asnaf Kraf dan bengkel jahitan D’ Asnaf Anggun.

Kursus keusahawanan turut direncanakan demi memastikan asnaf yang terlibat dalam pembangunan ekonomi ini mampu menguruskan perniagaan mereka dengan baik. Kini, ramai usahawan asnaf bernaung di bawah Kumpulan Usahawan Asnaf Zakat dan mereka terus dibimbing dan dipantau sehingga mampu berdikari, menerusi peruntukan asnaf fakir, miskin dan mualaf.

Program Pembangunan Pendidikan pula adalah senjata paling berkesan menjana asnaf, khususnya mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan. Untuk itu, LZS menyediakan dana bagi tujuan biasiswa dan dermasiswa khas. ia melibatkan tahap pendidikan daripada pra-sekolah sehinggalah ke universiti. Pembiayaan keperluan pendidikan asnaf juga dijamin, misalnya membeli pakaian dan peralatan sekolah serta tambang pengangkutan di bawah peruntukan asnaf fakir, miskin dan fisabilillah.

Demi menjamin kecemerlangan pelajar asnaf, maka LZS turut menampung kos yuran, kelas tambahan, kelas komputer dan seminar peperiksaan. Manakala, bantuan umum pendidikan juga disediakan yang berbentuk ‘One Off’ kepada semua orang, termasuklah mereka yang bukannya fakir miskin untuk menyambung pelajaran di atas asnaf fisabilillah. Program dakwah turut dibantu di bawah asnaf ini, seperti sumbangan kepada badan amal, pendakwah dan guru-guru agama.

Program Pembangunan Insan pula dirangka demi mengislahkan aspek spiritual asnaf. Ia meliputi aspek motivasi, sikap dan kekeluargaan dengan penekanan menerusi kursus-kursus kerohanian, tahsinul ibadah, tahsinul qiraat, kursus keibubapaan dan sebagainya lagi. Ia dijana menerusi asnaf fakir, miskin dan mualaf.

Program Pembangunan Institusi Agama pula adalah mekanisme memastikan pembangunan institusi agama seperti masjid, surau dan sekolah dibangunkan dengan sempurna, khususnya daripada aspek kualiti. Ia juga meliputi aspak menaik taraf dan pembinaan baharu menerusi dana fisabilillah.

Kesimpulannya, dengan pembentukan lima jenis program ini, ia telah memberikan kesan positif kepada tujuh asnaf zakat, iaitu fakir, miskin, mualaf, riqab, gharimin, fisabilillah dan ibn sabil kecuali asnaf amil, iaitu kakitangan LZS sendiri. Inilah transformasi agihan zakat, suatu upaya perubahan demi mendepani waktu agar asnaf terbela sesuai dengan keperluan zamannya. Wallahua’lam.