ZAKAT INDIKATOR EKONOMI



Tarikh : 7/16/2010
Penulis : Hamizul Abdul Hamid

Mukaddimah

‘The Great Depression’, merupakan krisis ekonomi terburuk pernah melanda dunia pada tahun 1929 dan mengambil masa sepuluh tahun untuk pulih. Tahun 2009 juga menyaksikan dunia berhadapan dengan kemelut ekonomi yang menggigit. Kenyataan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini, bahawa Barat belum benar-benar kebah dari demam ekonomi dan ia mampu memberi kesan berganda kepada ekonomi Malaysia, amat merisaukan kita semua.

Islam sebagai ad-deen yang syumul, sudah lama memberikan kaedah dan cara kepada umatnya, bagaimana kita mampu menangani kegawatan ini. Misalnya, sama ada kita sedar atau tidak, zakat itu sendiri adalah instrumen ekonomi. Ini kerana, zakat mampu dijadikan indikator dalam menilai tahap ‘kesihatan’ ekonomi. Zakat mempunyai kesan yang berkadar langsung dengan ekonomi. Naik dan turun graf ekonomi akan memberikan aruhannya kepada zakat.

Indikator Ekonomi

Dalam kalkulasi mudah, kenaikan graf ekenomi bermaksud kekayaan meningkat; maka logiknya zakat juga akan meningkat. Begitulah sebaliknya. Sebab itu mudah bagi kita mengetahui tahap kekayaan umat Islam, iaitu dengan melihat prestasi kutipan zakat. Jika zakat merudum, jelaslah kekayaan umat Islam juga turut merudum.
Maka, di sini pihak-pihak yang berwajib khususnya pihak kerajaan sudah mampu merencanakan suatu tindakan yang pro-aktif demi mendepani masalah mendatang. Jika kutipan zakat dalam sesuatu sektor jatuh, misalnya dalam sektor zakat pendapatan, maka ia menunjukkan ada sesuatu yang berlaku. Ia boleh jadi berpunca daripada pemberhentian pekerja yang menyebabkan zakat pendapatan juga jatuh. Begitu juga, jika berlaku pengurangan zakat perniagaan, maka ia disebabkan oleh ramainya peniaga yang tidak mampu berzakat. Maka, data dari dua kategori pembayar zakat ini membolehkan kerajaan membuat unjuran bersifat prospektif, berkenaan langkah-langkah awalan yang preventif sifatnya.

Di samping itu, wujud beberapa elemen zakat yang menunjukkan ia amat dipengaruhi oleh senario ekonomi semasa. Kaedah nisab zakat misalnya, ia ditentukan berdasarkan harga emas semasa. Sungguh pun ia mungkin di’pro-rate’kan (secara purata setahun); namun kenaikan harga emas masih memberikan kesannya. Nisab zakat akan menjadi lebih tinggi. Dengan kenaikan nisab, misalnya kini RM7,900.00, ia bermakna nilai harta kekayaan yang perlu dizakat juga akan menjadi lebih tinggi. Secara sedar atau tidak, nilai matawang kita sebenarnya turut merosot. Misalnya, jika dahulu simpanan wang kita yang berjumlah RM5,000 sudah wajib dizakatkan; tetapi kini ia mengecil kerana hanya nilai RM7,900 baharu kita diiktiraf ‘kaya’ di sisi agama Islam. Maka, pihak yang berwajib sudah mampu membuat unjuran kadar kemiskinan pada masa hadapan, dengan berpandukan nisab zakat.

Fungsi Zakat

Namun begitu, kita kini sedang meranduk bah kegawatan ekonomi. Maka, persoalan lebih utama, bagaimanakah zakat mampu memainkan fungsinya dalam kemelut ekonomi ini? Di sini, kita cuba memberikan pandangan secara ringkasnya, bagaimanakah zakat mampu berperanan secara aktif dalam kegawatan ekonomi ini.

Pertama: Zakat hendaklah dicairkan hartanya dengan membantu golongan fakir, miskin dan mereka yang memerlukan untuk dapat meneruskan hidup dengan sempurna. Ini bermakna, kurangkan tabungan dan cairkan aliran wang di peringkat bawah. Ia akan membantu berlakunya aktiviti ekonomi di peringkat bawahan. Lagi pun, kesan kemelesetan ekonomi memang paling dirasai oleh golongan kelas rendah seperti fakir dan miskin ini. Dengan kecairan ini, ia akan membantu ekonomi terus berjalan seperti biasa.

Maka, tindakan LZS (MAIS) misalnya meningkatkan kadar bantuan bulanan kepada penerima zakat adalah suatu tindakan yang betul dan tepat.

Kedua: Zakat boleh dikembangkan kepada aspek kredit mikro (qardhul hassan misalnya). Ia khusus membantu kalangan umat Islam yang berada ‘di jurang’ kemiskinan. Mereka belum miskin; tapi hampir-hampir menjadi miskin. Mungkin kerana bebanan hutang perniagaan atau akibat pemberhentian kerja. Sistem kredit mikro ini boleh dikembangkan dengan menetapkan prosedur yang mantap dan berkesan. Mungkin institusi zakat boleh menjalinkan kerjasama dengan institusi koperasi atau bank misalnya, demi memperolehi kesan yang lebih optimum.

Ketiga: Mengembangkan kekayaan harta zakat sedia ada melalui kaedah ‘berniaga sambil beramal’. Ini adalah realistik, kerana zakat sentiasa ada lebihan kutipan pada penghujung tahun. Maka, jika ia dijana, misalnya mewujudkan Pasaraya Besar milik umat Islam, dengan majoriti sahamnya dimiliki oleh institusi zakat dan dibuka pegangan sahamnya kepada umat Islam lain khususnya golongan sederhana atau pertengahan. Ia akan membantu perkembangan ekonomi umat Islam dalam bentuk jangka masa panjang.

Bahkan dalam hal ini Nabi SAW sendiri pernah bersabda: “Berniaga, labur atau usahakanlah harta-harta anak yatim, semoga ia tidak surut dengan zakat (iaitu zakat harta tahunan),” ( Riwayat Al-Baihaqi, Hadis Hasan dengan Syawahid)

Keempat: Kempen kesedaran dan kefahaman berzakat, khususnya kepada harta kekayaan lain yang tidak berkaitan langsung dengan ekonomi hendaklah dipergiatkan. Misalnya, kutipan zakat saham (yang biasanya dalam skala yang besar), zakat wang simpanan, zakat ternakan dan sebagainya perlu diberikan kepada masyarakat. Ini kerana, harta kekayaan perniagaan wajib dizakatkan walaupun tidak mencipta keuntungan. Dengan kefahaman sebenar zakat perniagaan, ia akan memastikan tiada peniaga muslim memberi alasan enggan berzakat kerana tidak untung. Bahkan, mereka memahami bahawa zakat adalah suatu suntikan keberkatan dalam perniagaan.

Kelima: Dakwah zakat secara bersungguh-sungguh mesti dilaksanakan. Manfaatkan segala ruang dan saluran yang ada. Keyakinan bahawa dengan berzakat akan memastikan harta diberkati hendaklah disebarluaskan. Sebaliknya, sifat menahan harta itulah yang akan menjerumuskan umat Islam kepada kemiskinan. Isu keberkatan menerusi zakat bukanlah perkara mainan sebenarnya, kerana ia dijamin Allah SWT di dalam al-Quran.

Keenam: Membantu mewujudkan rangkaian peluang pekerjaan lebih meluas kepada umat Islam, khasnya para graduan anak-anak asnaf. Sebagai nota, dianggarkan IPT mengeluarkan 100,000 orang graduan setiap tahun dan tanpa pengambila kerja baharu akan mewujudkan lambakan tenaga kerja mahir yang merugikan. Dana zakat boleh dijana, misalnya dengan membuka hospital, kilang jahitan, kilang makanan dan sebagainya lagi, yang mana para pekerjanya adalah terdiri daripada graduan khasnya anak-anak asnaf dan juga para asnaf sendiri.

Demikianlah sedikit sebanyak idea yang boleh difikir untuk menjana wang zakat dalam mendepani kegawatan ekonomi abad ini. Seandainya kita renung-renung kembali, LZS (MAIS) memang telah cuba memenuhi tanggungjawab ijtimai (social) ini sekadar yang termampu. Misalnya, pelancaran Agihan Zakat X-Press baru-baru ini, adalah manifestasi kepada kesungguhan LZS (MAIS) menangani kemelut ekonomi yang melanda. Ia adalah suatu inovasi. Namun kita yakin, potensi zakat sebenarnya masih luas untuk diterokai lagi.

Sumber: Sinar harian/rencana/16/07/2010