PENDIDIKAN UNTUK PERUBAHAN



Oleh Hamizul Abdul Hamid

Bagi memastikan asnaf zakat mempunyai ruang untuk bebas daripada belenggu kemiskinan, LZS menekankan bantuan pembangunan pendidikan dalam pengagihannya.LZS mensasarkan perubahan wajar bemula daripada generasi ke dua iaitu anak anak asnaf agar mereka dapat dibentuk menjadi generasi yang cemerlang dan mampu pula membebaskan diri dan keluarga daripada belenggu kemiskinan.

LZS mengagihkan puluhan juta ringgit demi memperkasakan asnaf menerusi Program Pembangunan Pendidikan ini. Pada tahun 2009, sebanyak RM65 juta disalurkan dan ia meningkat 37.9 peratus menjadi RM89.6 juta pada 2010. Manakala, bagi bantuan pendidikan khusus kepada anak-anak asnaf fakir miskin pula ialah sebanyak RM23 juta disalurkan pada tahun 2009 dan meningkat kepada RM25.6 juta pada tahun 2010.

Antara bantuan yang disediakan ialah bantuan yuran dan kelengkapan persekolahan bermula dari pra sekolah hingga ke peringkat Pusat Pengajian Tinggi. Selain itu diperingkat pengajian tinggi anak-anak ini turut menerima bantuan wang saku, kelengapan belajar dan biasiswa.

LZS juga merupakan institusi zakat pertama di Malaysia yang menyediakan asrama khas bagi anak-anak asnaf, demi membolehkan mereka mengecapi kualiti pendidikan yang jauh lebih baik. Sehingga kini, tiga buah asrama yang dikenali sebagai Asrama Baitul Hasanah didirikan iaitu di Kuala Kubu Bharu, Kuala Selangor dan di Klang.

LZS juga merangka beberapa inovasi agar bantuan pendidikan yang disediakan ini benar-benar memberikan kesan. Antaranya, LZS membuka ruang penajaan pendidikan kepada asnaf zakat meliputi pelbagai bidang pendidikan iaitu tidak hanya terbatas kepada pendidikan agama , Syariah dan Usuluddin sahaja. LZS menawarkan dermasiswa pelajar ke luar Negara. Antaranya ke Jordan, Mesir dan Morocco dalam multi bidang seperti Bahasa Arab, Pengajian Islam dan Perubatan.

Manakala bagi penajaan dalam negara pula, anak-anak asnaf boleh memilih untuk menyambung ke mana-mana universiti atau kolej awam serta beberapa institusi pendidikan swasta terpilih demi menyambung pengajian dalam pelbagai bidang, seperti sains kesihatan, farmasi, teknologi maklumat, kejuruteraan dan kemahiran vokasional.

Selain itu, LZS turut memberikan penekanan kepada bidang pendidikan agama dengan menyalurkan bantuan kepada sekolah-sekolah agama JAIS di seluruh Selangor. Pada tahun 2010 sahaja, lebih RM31.7 juta diperuntukkan bagi menyediakan prasarana pendidikan agama terbaik dan juga sebanyak lebih RM14.2 juta pula diperuntukan bagi tujuan penajaan pelajar agama di dalam dan luar negara.

Berikut adalah jadual tentang agihan zakat bagi pendidikan agama di Selangor tahun 2010

BilNama bantuanJumlah (RM)
1Skim pinjaman buku teks sekolah rendah agama4,054,421.00
2Bayaran kepada guru-guru KAFA Selangor26,000,000.00
3Pembinaan baru Pra-Sekolah JAIS Kuala Selangor464,268.48
4Pembinaan tiga buah kelas di SRA Bt. Arang, Gombak336,633.00
5Pembinaan surau SRA Kg. Jawa Klang296,418.50
6Pembinaan kantin SRA Kg. Medan, Kuala Langat331,480.00
7Pembinaan kantin dan tandas Pra-Sekolah JAIS Kg. Tok Muda, Klang236,119.36
JUMLAH31,719,339.00

Jadual berikut pula adalah agihan zakat bagi dermasiswa pelajar Selangor tahun 2010

BilNama bantuanJumlah (RM)
1Biasiswa galakan pelajar tahfiz815,400.00
2Dermasiswa galakan Penilaian Sekolah Rendah Agama, Sijil Menengah Agama dan Sijil Tinggi Agama Malaysia901,020.00
3Dermasiswa pelajar luar Negara (Mesir, Jordan dan Morocco)12,500,000.00
4Dermasiswa pelajar cemerlang19,000.00
JUMLAH14,235,420.00

Kesimpulannya, pembangunan pendidikan adalah aset untuk melakar kecemerlangan asnaf zakat. Mudah-mudahan dengan usaha pengagihan zakat melalui penekanan aspek pendidikan ini, lebih ramai keluarga asnaf dapat berunah dan bebas daripada kemiskinan