NENEK KENTAL BESARKAN EMPAT CUCU



Tarikh : 7/8/2010
Penulis : Hamizul Abdul Hamid

LAMBAIAN tangan dan redup pandangan mata penuh doa mengiringi penulis saat meninggalkan nenek Normah atau nama penuhnya, Normah Sutan Temenggung, 62.

Nenek yang kental membesarkan empat cucu. Masih basah di lipatan minda kira-kira tujuh tahun silam, seorang nenek tua menuntun basikal membawa cucu-cucu yang comel ke pejabat zakat di Selayang.

Nenek itu mengadu perihal nasib diri, meladeni hidup bersama empat cucu. Lalu jasad tua itulah yang menjadi ibu, ayah dan nenek sekali gus. Di pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS), sudah menjadi kewajipan menyantuni mereka yang benar-benar memerlukan.

Normah adalah simbol keutuhan kasih-sayang. Di teratak sewanya di Selayang Baru, beliau membina hidupnya hari demi hari. Bagi orang lain mungkin tidak kisah, namun bagi mukmin yang sejati, tidak sempurna iman jika membiarkan saudara seagama terlantar.

Umat Islam yang sebenar, adalah mereka yang menutup mulut menjaja keaiban tetapi tangannya menjaja kebaikan. Lantas, bersama niat mahu berziarah, tujuan penulis singgah ke terataknya agar dapat melihat keadaan beliau.

Jika dahulu Normah sibuk menghantar dan menjemput cucu-cucunya bersekolah, kini semua cucunya sudah besar. Cucu pertamanya, Siti Aishah sudah berusia 17 tahun, adiknya Muhd. Nur Fitri menginjak usia 15 tahun, adik ketiganya Siti Shafina pula 13 tahun dan adik bongsunya, Muhd. Lukman, 11 tahun.

“Terima kasihlah Zul datang menjenguk nenek… beginilah keadaan rumah ini, sudah penuh dengan kain baju hasil pemberian orang ramai. Sudah tak ada tempat nak simpan,” katanya ketika dikunjungi baru-baru ini.

Benar, ruang sempit rumahnya itu penuh dengan kain baju. Di luar rumah pula, tersusun kotak-kotak dan kertas lama serta tin-tin kosong – semua itu akan dijual oleh nenek Normah demi menampung keperluan mereka sekeluarga.

Itulah kegigihan seorang nenek yang sepatutnya dibanggakan oleh kita semua. Bahkan wajar dicontohi, kerana dia sesekali tidak selesa hanya menyerah diri kepada nasib dan takdir ilahi.

Sebenarnya, kisah Normah sudah lama dikongsi bersama pembaca. Kejerihannya memelihara empat cucu dengan kudrat tuanya sudah mendapat liputan banyak media.

Satu waktu dahulu, beliau pernah mencari ikan dan sayuran lebihan penjual di pasar. Kala itu, cucu-cucunya masih bersekolah rendah dan yang termuda berusia kira-kira lima tahun. Lalu, sejak tahun 2004 beliau sudah diangkat menjadi asnaf di LZS dan disantuni seadanya sehingga kini.

Bahkan, rumah tempat Normah bernaung bersama empat cucunya itu pun adalah ihsan daripada tuan rumah. Menurut Normah, kira-kira lapan tahun dahulu, tuan rumah yang kini sudah pun meninggal dunia mengizinkan rumah kecil itu untuk didiami oleh beliau secara percuma.

Bahkan anak-anak tuan rumah itu pun tidak pernah memintanya meninggalkan rumah itu.

Normah memang berasal dari Selangor. Berkahwin dan dikurniakan tiga cahaya mata, seorang perempuan dan dua lelaki yang menjadi pelengkap kepada keluarga. Suaminya seorang kelindan lori.

Kehidupan serba mencabar di Lembah Kelang, dengan pekerjaan suami sebagai kelindan lori menggambarkan taraf ekonomi mereka yang serba kurang. Sebab itulah kata Normah, dia sudah betah berpindah-randah sejak dahulu lagi.

Namun, ujian Tuhan memang sukar diduga. kira-kira 35 tahun lalu, suaminya terlibat dalam satu kemalangan jalan raya dalam perjalanan ke Kelang. Suaminya meninggal dunia.

Sejak itu, kehidupan mereka kian susah. Janganlah ditanya soal harta, kerana suaminya memang tidak meninggalkan apa-apa pusaka melainkan anak-anak sahaja.

Namun, anak-anak lelakinya kini entah di mana. Anak perempuan tunggalnya pula, asalnya masih boleh bergantung harap. Dia berkahwin dan awalnya bahagia.

Namun, setelah anaknya bercerai, semuanya berubah sekelip mata. Maka, nenek manalah sekadar larat memerhati, sedang cucu itu adalah darah daging sendiri.

Namun begitu, kata Normah yang amat merisaukan hatinya ialah apabila memikirkan masa hadapan cucu-cucunya. Pernah katanya satu ketika cucu sulungnya dimarahi guru kerana gagal menyediakan wang bagi mendapatkan buku yang diarah.

Sebab itulah dia sentiasa mengutamakan pendidikan cucu-cucunya agar mereka berjaya dan dapat merubah masa hadapan keluarga.

Malah dia turut bimbang akan nasib yang bakal menimpa cucu-cucunya jika dia meninggal dunia.

Namun, Normah tetap yakin, Allah Tuhan Yang Maha Pemurah pasti akan memberikan yang terbaik kepada mereka sekeluarga. Apa yang penting, dia akan terus berusaha yang terbaik selagi usianya masih ada untuk cucu-cucunya.

Dalam hidupnya, Normah tidak pernah lokek mengucapkan terima kasih kepada LZS di atas segala budi yang telah ditabur. Dia juga tidak pernah lokek berdoa, moga-moga Allah SWT terus melimpahkan keberkatan rezeki kepada pembayar zakat.

Mudah-mudahan juga LZS akan terus maju di negeri Selangor yang makmur, amin.

sumber: Utusan Malaysia, Khamis 8 Julai 2010