MENJANA PERANAN WANITA DALAM ZAKAT – siri 1



Oleh Hjh. Adibah Abdul Wahab
Timb. Pengurus Besar,
Pejabat Kutipan, LZS

Mungkin ada benar pepatah Melayu mengatakan ‘Tangan yang menghayun buaian juga mampu menggoncangkan dunia’. Itulah senario wanita-wanita pada hari ini. Kini wanita bukan lagi dianggap sebagai ‘penghuni tetap’ ceruk dapur semata-mata tetapi telah menjadi salah satu entiti penting dalam pembangunan ummah. Kredibiliti mereka tidak dipandang enteng lagi kerana keupayaan wanita mampu membuatkan mereka duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan kaum lelaki yang lain.

Lihat sahajalah nama seperti Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Datuk Dr Ainum Mohd Saaid, Datuk Siti Norma Yaacob, Dr Mashitah Ibrahim, Datuk Dr Mazlan Othman dan sebagainya. Mereka inilah wanita-wanita besi yang menjadi tunjang negara. Ketokohan mereka menjadi sumber inspirasi kepada wanita-wanita lain di Malaysia.

Berdirinya wanita-wanita di Malaysia pada hari ini sedikit sebanyak merupakan kesinambungan daripada ‘keperkasaan’ wanita di dalam sejarah Islam. Wanita-wanita Islam dahulu telah membuktikan bahawa mereka bukanlah calang-calang orang. Sumbangan mereka terhadap pembangunan ummah amnya dan Islam khususnya, tidak dapat dipertikaikan lagi.

Nama-nama seperti Khadijah, Aisyah, Fatimah, Ramlah Abu Sufyan, Ummu Salamah, Siti Zubaidah, Maryam Jameelah, Zainab al-Ghazali dan sebagainya menjadi sebutan kerana pencapaian serta sumbangan yang amat bermakna kepada Islam.

Anjakan nilai wanita

Dewasa ini, anjakan nilai hidup menyebabkan berlakunya perubahan kepada wanita. Ini menyebabkan kaum wanita perlu mempersiapkan diri bagi memenuhi cabaran dan saingan globalisasi itu. Kepesatan pembangunan negara menyebabkan peranan wanita juga turut berubah.

Mereka kini lebih bersifat multi-functional disebabkan peranan mereka yang pelbagai. Merekalah anak, isteri, ibu, kakak atau adik dan dalam masa sama juga bertindak sebagai wanita berkarier yang menyumbang kepada pembangunan negara. Oleh kerana ramai wanita pada masa ini yang menunjukkan kebolehan dan kepimpinan yang membanggakan menyebabkan sumbangan mereka amat diperlukan.

Penglibatan kaum wanita sebagai pencari rezeki sudah diterima sebagai suatu realiti dalam masyarakat Islam moden, khususnya di negara maju dan membangun. Mungkin kerana kos kehidupan yang semakin meningkat terutamanya di bandar menyebabkan kaum wanita harus sama-sama keluar mencari rezeki untuk keluarga.

Oleh itu tidak hairanlah ketika ini, ramai wanita yang mempunyai pekerjaan kerana masing-masing memerlukan sumber pendapatan untuk membantu ekonomi keluarga. Memperoleh pendapatan daripada sumber yang bersih akan lebih berkat sekiranya kewajipan zakat itu dapat ditunaikan. (BERSAMBUNG…)