LZS SEDIA BANTU ZUBEDAH BERUBAH



Tarikh : 8/7/2010
Penulis : Hamizul Abdul Hamid

Allah yang menjadikan kehidupan ini dengan segala pancarobanya, bukanlah tanpa tujuan. Ia adalah untuk menilai tahap kesabaran manusia. Mereka yang mengaku beriman, pasti akan diuji. Kelak di akhirat, kesabaran itu akan dibalas dengan cukup setimpal. Syaratnya, di dunia mereka mestilah kekal berusaha dan bertakwa kepada-Nya.

Ujar Allah buat renungan: “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka tidak lagi diuji?” (al-Ankabut: 2)

Kehadiran penulis bersama Ust. Aqmal, Pegawai Agihan Lembaga Zakat Selangor (LZS) Gombak ke teratak Zubedah Ahmad, 43 di Kg. Bahtera mengundang seribu persoalan di cepu minda. Tanpa diduga, rupa-rupanya Zubedah sekeluarga sudah hampir 16 tahun mendiami tanah rezab milik kerajaan di sana.

Statusnya, mereka adalah penghuni setinggan. Istilah yang kian asing kini berbanding 15 tahun silam. Apatah lagi Selangor sudah pun mencapai status negeri maju, dan kewujuduan setinggan juga kian pupus di negeri ini.

“Entah apa sebabnya ustaz, nama saya tercicir sudah sekian lama daripada senarai penerima bantuan. Sudah hampir 16 tahun di sini, sudah ramai juga pihak tertentu datang bertamu. Mereka bertanya itu dan ini, meminta fotokopi kad pengenalan dan sebagainya lagi. Namun, nasib saya masih di takuk lama.”

Demikianlah Zubedah membuka cerita. Terkejut dan tercengang penulis mendengarnya. Jika diikutkan, kedudukan rumah Zubedah tidaklah begitu jauh daripada pelbagai pusat kemudahan dan ejensi kerajaan yang tugasnya membantu rakyat termiskin; namun kenapa mereka terpinggir?

“Suami saya hanya seorang pekerja sambilan, menebar roti canai di gerai berdekatan. Upah harian sahaja, dapatlah RM20.00 sehari. Jika sebulan, selepas ditolak pelbagai bayaran termasuklah melunaskan pinjaman, dapatlah bersih kira-kira RM250.00.

“Dengan wang itulah, suami saya berikan buat belanja keluarga. Wang itulah juga saya berjimat-cermat membeli keperluan dapur dan menampung belanja anak tunggal saya ke sekolah.”

Hasil perkongsian hidup Zabedah dan suaminya, Zainon Omar, 53 mereka dikurniakan Allah seorang anak lelaki, Mohd. Rasyada. Kini usia anak lelaki mereka sudah pun 14 tahun dan belajar di Sekolah Menengah Sg. Kertas, Selayang.

Sebenarnya, jika diikutkan pada kaca mata fizikal, Zubedah kelihatan seperti orang yang sihat. Namun, sebenarnya beliau sedang bertarung dengan pelbagai jenis penyakit yang membataskan kemampuannya untuk bergerak. Bahkan Zubedah tidak boleh memaksa dirinya melakukan kerja berat, jika tidak dia akan diserang lelah yang amat menyesakkan.

“Sekitar tahun 1980-an dahulu, saya pernah berkerja di sebuah kilang membuat sarung tangan getah. Mungkin dari situlah, saya mendapat penyakit ini. Kini, saya adalah pengidap athma yang kritikal. Bahkan dahulu, saya adalah pengidap penyakit TB (batuk kering). Kata doktor, sebelah paru-paru saya ini sudah rosak, sudah reput.

“Di samping itu, saya juga adalah pengidap kencing manis, darah tinggi dan juga lemah jantung.”

Hampir terduduk penulis mendengar senarai jenis penyakit yang dihidapi Zubedah. Rasanya, alang-alang orang pasti tidak termampu menanggung semua ini. Jangankan diabetes, hipertensi dan athma, di serang selesema dan batuk pun sudah jenuh berulang-alik ke klinik agar sembuh segera.

Menurut Zubedah, sehingga kini dia mesti mendapatkan ubat-ubatan daripada klinik kerajaan berdekatan di samping wajib ke Hospital TB di Jalan Pahang setiap bulan.

Menyentuh nasib dirinya, Zubedah akui bahawa kemiskinan memang amat membelenggui diri dan keluarganya. Teratak milik keluarganya juga sangat uzur. Menurut Zubedah, jika hujan maka akan tiris di sana-sini. Arus sungai juga akan naik dan rumahnya akan ditenggelami air.

“Inilah keadaan rumah saya ustaz. Memang agak daif; tetapi bagi saya, ini lebih baik daripada dahulu. Pernah dulu, kami terpaksa menyewa stor milik orang untuk dijadikan tempat tinggal. Sudahlah sempit, bentuknya pula huruf ‘L’. Ustaz bayangkanlah sendiri keadaannya.” Ujar Zubedah lagi sambil terkenang kisah silam.

Merenung masa hadapan, Zubedah sebenarnya mahu merubah nasib diri dan keluarganya.

“Sebenarnya, jika mampu saya bercadang mahu berjualan kuih-muih dan nasi lemak. Tetapi, saya tidak boleh berkerja kuat. Jangankan untuk mengangkut barang, jika berjalan kaki dari rumah saya ini ke kedai di hadapan itu pun saya sudah lelah. Bila diserang athma, seluruh tubuh saya akan menggeletar.”

Mujurlah kesusahan beliau berjaya dikesani oleh LZS. Maka, mulai tahun 2010, beliau didaftarkan sebagai asnaf miskin yang melayakkan beliau sekeluarga menerima pelbagai jenis bantuan, termasuklah bantuan pendidikan anak, bantuan saraan bulanan dan bantuan tanggungan kos rawatan sakit kronik.
Bahkan LZS menggesa agar beliau segera berpindah ke kediaman yang lebih baik dan selesa dan akan menguruskan sebahagian kos sewaannya. Bahkan, seandainya.
Zubedah berjaya mendapatkan status pemilikan ke atas tanah rezab yang mereka diami itu, maka LZS boleh membantu membina rumah baharu yang lebih baik untuk dirinya sekeluarga.

“Saya rasa gembira dan terharu dengan kedatangan LZS, terima kasih banyak-banyak kerana sudi membantu saya.” Ujar Zubedah menuntasi perbualan.